.

Selasa, 1 Disember 2009

DUBAI MILIKI HUTANG RM508 bilion

DUBAI 30 Nov. - Dubai yang kini dilanda krisis kewangan dianggarkan memiliki hutang sebanyak AS$150 bilion (RM508.5 bilion), termasuk pinjaman-pinjaman dua hala, kata EFG Hermes.

Menurutnya, jumlah hutang Dubai dianggarkan sebanyak AS$84.2 bilion hanya membabitkan pasaran modal hutang seperti bon, sukuk dan pinjaman bagi syarikat-syarikat Dubai Inc,

Ahli Strategik GCC, Fahd Iqbal pula berkata, sekiranya melibatkan pinjaman-pinjaman dua hala dan maklumat, pihaknya menganggarkan jumlah itu mampu mencecah antara AS$120 bilion (RM406.8 bilion) hingga AS$150 bilion (RM508.5 bilion), terbahagi kepada hutang berdaulat dan entiti-entiti berkaitan kerajaan (GRE).

''Sekiranya kita mengambil kira jumlah pinjaman-pinjaman dua hala kepada Dubai adalah dua kali ganda daripada jumlah tersebut, pinjaman dua hala itu akan bertambah sebanyak AS$50 bilion (RM169.5) berdasarkan anggaran kami,'' tambah Iqbal yang dilaporkan oleh DowJones.

Dalam perkembangan berkaitan, Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM), Tan Sri Dr. Zeti Akhtar Aziz berkata, bank Islam dan konvensional Malaysia tidak menerima kesan operasi daripada krisis kewangan di Dubai berikutan pendedahan yang terhad.

"Asas sistem perbankan kekal kukuh dan terus menyokong proses pemulihan ekonomi," katanya dalam kenyataan ringkas yang dikeluarkan di Kuala Lumpur, hari ini.

Sementara itu, AFP melaporkan pasaran saham di Dubai dan Abu Dhabi menjunam, masing-masing sebanyak 7.3 peratus dan 8.3 peratus berikutan kekurangan pembeli disebabkan Dubai World menangguhkan pembayaran hutangnya.

Penanda aras Indeks DFM ditutup pada 1,940.36 mata, jatuh 152.80 mata, selepas kerajaan Dubai terkejut dengan pengumuman penangguhan pembayaran hutang oleh syarikat konglomerat itu untuk enam bulan.

Peneraju sekuriti termasuk pembinaan dan kewangan, susut hampir tahap maksimum 10 peratus selepas bursa dibuka semula hari ini, selepas empat hari bercuti.

Kedua-dua pasaran itu memiliki modal pasaran kira-kira AS$10 bilion (RM33.9 bilion) dan dagangan bagi kedua-dua pasaran hampir dibekukan berikutan tawaran jualan yang terlalu tinggi sebaliknya tawaran membeli begitu sedikit

Penganalisis Sekuriti Al-Fajr, Hamam al-Shamaa menjangkakan banyak portfolio asing akan keluar daripada pasaran dan tindakan itu bakal menggerunkan pelabur tempatan.

Sementara itu, unit hartanah Dubai World, Nakheel, yang terlibat dalam pembangunan ikonik Palm Jumeirah telah diminta untuk menangguhkan dagangan sukuk yang disenaraikan di bursa Dubai.

Satu daripada pinjaman utama yang terlibat dalam pelan penangguhan hutang oleh Dubai World ialah penerbitan AS$3.5 bilion (RM11.86 bilion) sukuk yang dijangka matang pada 14 Disember ini.

Dubai tidak memiliki rizab minyak yang besar, tidak seperti Abu Dhabi yang mempunyai sekitar 95 peratus deposit komoditi itu dan mempunyai dana kekayaan berdaulat terbesar di dunia dengan nilai kira-kira AS$400 bilion (RM1.35 trilion) hingga AS$500 bilion (RM1.69 trilion).

Dua bank yang dikuasai oleh Abu Dhabi telah melanggan bon Dubai bernilai AS$5 bilion (RM16.95 bilion) dalam satu urus niaga, beberapa jam sebelum Dubai mengumumkan masalah hutangnya.

Harga hartanah di bandar gurun itu juga menjunam sebanyak 50 peratus akibat krisis tersebut.

(Utusan)


Tiada ulasan: