.

Jumaat, 4 Disember 2009

BATU BERSURAT DIIKTIRAF UNESCO


Batu Bersurat Terengganu mendapat pengiktirafan Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) sebagai Daftar Memori Dunia Antarabangsa (MWIR).

Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr. Rais Yatim berkata, Jawatankuasa Penasihat Antarabangsa (IAC) yang bermesyuarat di Barbados, 31 Julai lalu memberi pengiktirafan itu bagi memastikan khazanah warisan itu terus terpelihara untuk diwarisi generasi akan datang.

''Ini merupakan pengiktirafan keempat yang diperolehi Malaysia selepas Hikayat Hang Tuah (2001), Sejarah Melayu (2001) dan Surat-Surat Sultan Abdul Hamid (2001) iaitu di bawah kategori yang sama,'' katanya pada sidang akhbar di Kuala Lumpur.

Rais memberitahu, pencalonan untuk batu bersurat itu telah dibuat bersama-sama dengan Poskad Negeri-Negeri Selat pada Mac 2008 oleh kementeriannya melalui Jabatan Warisan Negara.

Bagaimanapun, jelas beliau, semasa IAC membuat pertimbangan pengiktirafan tersebut, pihak terbabit hanya menerima dan menyenaraikan batu bersurat.

Ditanya, apakah alasan IAC menolak poskad tersebut, kata beliau, ia tidak menepati kriteria yang diperlukan oleh pihak IAC, iaitu mempunyai keunikan dan kepentingan di peringkat dunia.

Rais berkata, kementerian dan Jabatan Warisan Negara memutuskan untuk mengekalkan artifak itu di Muzium Terengganu kerana ia lebih wajar diletakkan di tempat asal penemuan batu bersurat itu.

Beliau juga telah memaklumkan kepada Menteri Pelancongan, Datuk Seri Dr. Ng Yen Yen supaya memasukkan batu bersurat itu sebagai destinasi pelancongan di negeri itu.

(UTUSAN)


Tiada ulasan: