.

Selasa, 1 Disember 2009

PELABUR MULA JAUHI BURSA SAHAM UAE


SEORANG pelabur melihat papan maklumat saham yang sedang menjunam di Shanghai, China semalam.


DUBAI - Pasaran saham Abu Dhabi dan Dubai jatuh teruk dalam dagangan hari pertama semalam sejajar jangkaan penganalisis sejak tercetus krisis ekonomi terburuk di Emiriah Arab Bersatu (UAE) minggu lalu.

Indeks Abu Dhabi merosot 241.93 mata untuk ditutup 8.3 peratus lebih rendah kepada 2,668.23. Sektor hartanah, telekomunikasi, tenaga, perbankan dan pembinaan mencatatkan kerugian pada akhir dagangan.

Indeks Dubai jatuh sebanyak 7.3 peratus atau 152.8 mata untuk ditutup kepada 1,940.36 mata dengan sebahagian besar saham mencatatkan penurunan.

Lewat kelmarin, bank pusat UAE berusaha meredakan kebimbangan pelabur dan pemiutang dengan mengumumkan pihaknya akan menawarkan kecairan kepada bank-bank di negara itu bagi menyerap impak krisis.

Namun, bank itu enggan menyatakan jumlah wang disuntik manakala penganalisis meramalkan kerajaan akan mengeluarkan kenyataan susulan kepada pengumuman bank pusat itu semalam setelah mendapati tidada apa yang berlaku.

Sebelum bursa tempatan dibuka, Nakheel, sayap pemaju hartanah kepada firma Dubai World yang mencetuskan panik baru-baru ini, meminta penggantungan dagangan semua bon syarikat itu di pasaran Nasdaq Dubai.

Minggu lalu sebelum ditutup sempena cuti Aidiladha, Dubai World yang dimiliki pemerintah, memohon penangguhan pembayaran semua hutang sebanyak AS$59 bilion (RM200 bilion).

(Agensi)


Tiada ulasan: