.

Isnin, 9 Mac 2009

MAULIDUR RASUL: ANTARA SAMBUTAN Vs PENGHAYATAN TERHADAP BAGINDA S.A.W


Tidak ramai antara kita yang mengetahui sejarah sambutan Maulidur Rasul diadakan sejak dahulu. Justeru, penulis suka untuk berkongsi ilmu setakat pengetahuan yang ada untuk kefahaman bersama.

Sejarah sambutan Maulud Nabi ini bermula di Mesir oleh sebuah kerajaan yang dikenali sebagai kerajaan Fatimiah. Kerajaan ini akan mengadakan sambutan setiap tahun hijrah secara besar-besaran bagi mengingati pengorbanan dan perjuangan pendeta mulia tersebut. Bukan sekadar baginda, malah seluruh kerabat Nabi Junjungan Teragung ini juga turut dirayakan seperti hari kelahiran Zainab, Hassan, Hussain, dan lain-lain. Namun, segala sambutan ini telah dihentikan serta-merta pada tahun 488 atas perintah pemimpin kerajaan, Al Afdal Shahindah. Beliau berbuat demikian sebagai merujuk sebuah kitab karya Ibnu Atheer berjudul Al Kameel. Walaubagaimana pun, pemimpin seterusnya telah mengambalikan semula perayaan demikian setelah berjaya memegang pemerintahan dalam kerajaan tersebut. Keadaan ini terus berulang-ulang sehinggalah abad ke 7 yang menyaksikan perayaan Maulidur Rasul diadakan semula di sebuah bandar bernama Irbil. Pemimpin yang bertanggungjawab ketika itu memandang serius terhadap sambutan berkenaan sehingga mengarahkan rakyatnya mendirikan khemah-khemah, menghias khemah dan pelbagai aktiviti demi memperingati baginda Rasulullah s.a.w.

Sebenarnya, isu sambutan Maulidur Rasul ini telah mendepani pelbagai hujah dan khilaf pendapat dari pelbagai ulama'. Perselisihan ini adakalanya membuatkan masyarakat keliru dengan situasi yang dibenarkan atau tidak. Namun, keadaan perselisihan pendapat ini merupakan suatu rahmat seperti yang diungkapkan oleh baginda Rasulullah s.a.w. Ada yang berpendapat bahawa Nabi tidak pernah merayakan atau menyuruh umatnya merayakan hari kelahirannya. Nabi juga ada berpesan supaya jangan memperbesar-besarkan hari kelahirannya sebagaimana orang Kristian yang memperbesarkan kelahiran Nabi Isa a.s. (dalam sebuah Hadith disebut sebagai "anak Maryam").

Bagi pendapat yang menyokong sambutan ini, mereka menyatakan bahawa tujuan maulud diadakan adalah untuk memuliakan Nabi Muhammad s.a.w. Hujah ini sebagai menurut surah Al A'raf ayat 157 secara umumnya. Hujah-hujah juga turut disandarkan kepada ayat-ayat Allah seperti surah Ibrahim (ayat 5), peristiwa puasa hari Asyura oleh orang-orang Yahudi pada 10 Muharram setelah kedatangan baginda ke Madinah, serta Hadith yang diriwayatkan oleh Abi Qatadah tentang kelebihan berpuasa pada hari Isnin.

Justeru, walau apa pun perbedaan yang ditampilkan kita perlulah menghayati tujuan utama sambutan ini diadakan. Maulid Nabi bukan sekadar sambutan hari jadi seperti yang kita sambut untuk anak-anak, sahabat taulan, atau sesiapa sahaja. Bahkan, tujuan sambutan ini lebih menekankan konsep memperingati keperitan perjuangan baginda Rasulullah s.a.w. demi menegakkan syiar Islam di arena sejagat. Sikap serta sifat Baginda yang berakauntebiliti, profesional, berintegriti dan sifat mahmudah lain perlu diteladani sepenuhnya.

Sambutan haruslah tidak sekadar melaungkan nama baginda semata-mata dan nyanyian nasyid-nasyid berkenaan baginda. Selawat dan salam yang diungkap perlu dengan nilai penghayatan erti dan maksud yang mendalam. Kefahaman inilah akan mewujudkan terma keagungan yang acap kali diwar-warkan oleh pencinta para Nabi dan Rasul tatkala menyampaikan khutbah di merata tempat seantero dunia.

Semoga sambutan tahun 1430 Hijrah bersamaan 2009 masihi ini akan menginsafkan kita secara sebenar-benarnya tentang erti keperibadian baginda Rasulullah s.a.w. yang bermati-matian mempertahankan ajaran Allah s.w.t di muka bumi. Kerangka ingatan Baginda terhadap kita sebagai ummah-Nya tetap bersemi tatkala Baginda berasa sakit menghadapi sakaratul maut. Ini terbukti dengan sebutan "ummatku...ummatku..." ketika nafasnya kian pudar sebelum wafat.
Maka, wajarlah kiranya kita sama-sama hulurkan selawat dan salam buat baginda kerana sekali kita berselawat ke atas-Nya, sepuluh kali makhluk-makhluk Allah akan berselawat kepada kita yang tak terdengar dek hijab pendengaran ini.
Semoga sedikit sebanyak artikel ini mampu dihayati bersama.
Wallahu a'lam.
Sekadar berkongsi idea, Fikir-fikirkan .. .

2 ulasan:

Roza berkata...

Assalamualaikum Andeh,

Selawat dan salam kepada junjungan kita Rasulullah S.A.W serta keluarga dan sahabat-sahabatnya.

AnDeH berkata...

Wa 'alaikum salam w.b.t,
tQ..selawat salam jgk atas Baginda Rasulullah s.a.w