.

Ahad, 8 Mac 2009

BADI PENTAS AKHIR: 2 PEMAIN NO.1 DUNIA BERGELAR DATUK TERSUNGKUR JUA

DATUK NICOL DAVID

DATUK LEE CHONG WEI
________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________
Baru sahaja kisah Datuk Nicol David, bintang nombor 1 Dunia dalam arena sukan Skuasy menerima kekalahan di hadapan ribuan peminat sendiri di Kuala Lumpur semalam (7hb Mac 2009). Hari ini (8hb Mac 20o9) negara sekali lagi dikhabarkan dengan keputusan kekalahan di pentas akhir Seluruh England yang gagal dikecapi oleh Datuk Lee Chong Wei, pemain nombor 1 Dunia dalam permainan Badminton.

Walau apa juga alasan, Datuk Nicol David sebenarnya merupakan bintang ternama yang perlu dibanggakan kerana kekalahan ini berlaku buat kali pertama setelah 17 bulan sejak Oktober 2007 lalu bergelar Juara. Tambahan pula, kemenangan yang dicatat beliau sebelum ini adalah 12 kali rekod tanpa kalah. Kekalahan semalam pula bukanlah kekalahan teruk kerana Datuk Nicol mampu mara sehingga peringkat akhir perlawanan. Sesungguhnya, adalah tidak wajar bagi kita menghukum kekalahan ini sebagai sesuatu yang memalukan kerana setiap adat pertandingan pasti ada yang menang dan ada yang kalah. Bukan mudah mengekalkan pencapaian terbaik secara tekal atau konsisten dalam tempoh yang panjang.

Bagi Datuk Lee Chong Wei pula, 'badi' pentas akhir masih sukar diketepikan untuk bergelar Juara terutama ketika berhadapan dengan pemain 'tembok besar China', Lin Dan. Memang nampak mudah aksi berhadapan antara mereka berdua. Malah, ramai juga peminat seluruh dunia yang mempunyai stigma sama menyatakan kedua-dua jaguh bulu tangkis ini adalah pertemuan antara buku dengan ruas. Mungkin ramai antara kita cuba menimbulkan persoalan, mengapa tatkala Datuk Lee Chong Wei berhadapan dengan Lin Dan, banyak peluang yang mampu mematikan pihak lawan tidak direbut sepenuhnya? Begitu pun, Datuk Lee Chong Wei telah mempamerkan aksi terbaik beliau dengan mengalahkan pemain ternama khususnya dari Indonesi, England dan lain-lain. Kita harus sedar bahawa yang menaggung sememangnya tak sama rasa dengan yang memandang.

Ada kalanya kritikan dihambur keterlaluan kerana dikuasai emosi sendiri. Namun, kita patut memuji mereka yang telah berusaha memperdengarkan nama 'Malaysia' untuk diseru sebagai pemenang di negara-negara lain setiap kali perlawanan walaupun bukan bergelar Juara pertandingan.

Semoga segala kelemahan yang ada mampu diperbaiki demi menjamin mutu persembahan yang lebih menarik untuk mengangkat martabat dan nama negara ke pentas global. Sokongan padu serta dorongan yang berterusan daripada seluruh rakyat tempatan khususnya peminat setia dua sukan ini adalah amat diharapkan oleh pemain-pemain agar lebih bersemangat menggapai kejuaraan yang disertai pada masa hadapan.

TAHNIAH !!!

buat 2 Datuk yang telah menjadi "Pemain No.1 Dunia" kerana berjaya mencipta nama di persada antarabangsa. Semoga kekalahan yang diterima menjadi pengajaran terbaik serta inspirasi untuk beraksi dengan lebih gigih dalam menebus maruah negara pada masa akan datang. Matlamat anda adalah inspirasi kami bersama. Biarlah menang kita bertuah, kekalahan dalam erti kata bermaruah.
Sekadar isi hati, Fikir-fikirkan .. .
________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________

Tiada ulasan: