.

Isnin, 9 Mac 2009

PAKEJ RANSANGAN KEDUA : LANGKAH TEPAT MALAYSIA HADAPI TEKANAN KRISIS EKONOMI DUNIA

Pakej Ransangan Ekonomi Kedua atau dikenal sebagai "bajet mini" ini bertujuan untuk merancakkan lagi aktiviti ekonomi negara menerusi pelbagai sektor terpilih yang telah ditetapkan dan dirangka sejak beberapa bulan yang lalu.

Cadangan untuk kerajaan membentangkan Pakej Ransangan kedua ini timbul setelah perlaksanaan Pakej Ransangan Pertama yang pernah diwujudkan sebelum ini dengan peruntukan sebanyak RM7 billion nampaknya masih belum menunjukkan tanda-tanda pemulihan dalam ekonomi negara. Justeru, kerangka kali ini diharap benar-benar merancakkan aktiviti ekonomi yang dilihat semakin lemah belakangan ini. Pelbagai aspek dikaji dan diambil kira demi memastikan sasaran yang menjadi punca kelemahan strategi Pakej Pertama sebelum ini dapat diperbaiki sepenuhnya. Jika sebelum ini kerajaan menyasarkan matlamat agar kadar inflasi berada pada tahap yang minimum, hari ini dengan pembentangan Pakej Ransangan Kedua maka kerajaan memfokuskan perkara pokok yang menjadi isu utama iaitu meransang pertumbuhan ekonomi yang mapan serta berusaha mengurangkan kadar pengangguran yang semakin menggila. Kenyataan ini dikuatkan dengan fakta oleh Persekutuan Majikan-majikan Malaysia("Malaysian Employers Federation") atau MEF yang menyatakan bahawa menjelang suku ketiga tahun 20o9, pembuangan pekerja akan meningkat ke paras mencecah 200,000 orang. Lantas, ramalan kebanyakan pakar ekonomi sebelum ini yang mengatakan bahawa krisis ekonomi global akan pulih sekitar pertengahan 2009 atau setidak-tidaknya awal tahun 2010 nanti sangat tidak relevan dengan perkembangan semasa hari ini.

Justeru, pembentangan Pakej Ransangan di parlimen esok dikatakan amat tepat dan dinanti-nantikan oleh semua rakyat Malaysia khususnya mereka yang ingin terus bersaing dengan syarikat-syarikat asing. Ada yang berpendapat bahawa Pakej Ransangan Kedua ini perlulah lebih besar angkanya berbanding jumlah yang diberikan menerusi Pakej Ransangan Pertama November lalu. Hal ini kerana jumlah yang besar dianggarkan mencecah sehingga RM10 billion sangat diperlukan bagi menyuntik sektor-sektor utama seperti pembuatan, pembinaan, pertanian serta Industri Kecil & Sederhana agar lebih kompetitif menghadapi kegawatan ekonomi ketika ini.

Negara sebenarnya banyak bergantung kepada aktiviti-aktiviti dalaman yang dilakukan secara domestik. Memang benar negara juga ada kebergantungan kepada negara-negara maju yang lain kerana status Malaysia yang masih dalam kelompok negara membangun. Oleh itu, kita tidak dapat lari daripada bergantung dengan negara-negara berkenaan. Walaubagaimana pun, disebabkan faktor negara maju seperti Amerika Syarikat, Jepun, dan negara-negara di bahagian Eropah telah terjejas teruk akibat konsep Kapitalisme yang mereka junjung selama ini maka tidak mungkin Malaysia berupaya meneruskan pelaburan serta mewujudkan perdagangan dengan negara tersebut seperti sedia kala. Bahkan, angka eksport barangan serta perkhidmatan dari Malaysia terhadap negara-negara maju itu dilihat mengalami penurunan sejak akhir-akhir ini.

Dasar kerajaan yang diperkenalkan oleh Perdana Menteri; Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi berkaitan pembangunan industri Bioteknologi menampakkan ciri-ciri signifikan, lebih-lebih lagi dalam soal meningkatkan kualiti hidup masyarakat. Setidak-tidaknya mereka yang diberhentikan kerja boleh menyahut seruan kerajaan dengan mengamalkan kempen "Bumi Hijau" untuk memanfaatkan tanah yang sedia ada.

Pertanian merupakan sektor yang paling utama kepada manusia selagi kita masih hidup di dunia. Bukannya sektor lain tidak penting tetapi dalam meneliti hirearki keperluan manusia ciptaan Maslow yang menyatakan keperluan asas manusia, ada benarnya untuk kita terfikir bahawasanya bagi meneruskan aktiviti dalam sektor-sektor lain, pertanian adalah industri asas yang mesti didahulukan. Apa tidaknya? Tanpa makanan mana mungkin sumber tenaga yang dikatakan 'modal insan' akan berupaya memenuhi hasrat kerajaan untuk meningkatkan pembangunan ekonomi dalam sektor-sektor yang lain.

Ramai yang sedar dengan pembentangan yang akan dilakukan oleh Timbalan Perdana Menteri esok maka negara bakal mencipta rekod defisit yang melebihi jangkaan seperti dalam Pembentangan Bajet 20o9 lalu iaitu sebanyak 3.6%. Justeru, untuk mengatasi masalah defisit ini seharusnya Pakej yang diumumkan perlulah berkonsepkan 'pelaburan' setimpal. Segala proses pembangunan yang mengutamakan hak dan permintaan rakyat perlulah difokuskan agar rakyat mampu 'memulangkan' semula hasilnya kepada kerajaan pada masa akan datang. Ini juga merupakan 'aset' atau alat untuk menentukan nasib kerajaan pada PRU ke-13 sekitar tahun 2012-2013 akan datang di bawah pemerintahan Dato' Seri Najib. Pakej Kedua ini juga harus melihat secara serius berkenaan 'sindrom' pengangguran besar-besaran yang akan berlaku menjelang akhir tahun ini. Pelbagai kerangka dan strategi perlu dijadual mulai sekarang agar semua rakyat khususnya mereka yang diberhentikan mampu hidup dalam keadaan yang masih boleh bertahan. Fakta yang jelas menunjukkan tiga bulan terakhir tahun lalu jumlah penganguran mencecah lebih daripada 10,000 orang manakala pekerja yang diberhentikan secara sukalrela menerusi Skim "VSS" pula melebihi 4000 orang. Petunjuk ekonomi negara yang disiarkan dalam berita utama setiap hari menyatakan Indeks Komposit negara berlegar sekitar 800 ke 900 mata sahaja. Kita perlu sedar betapa sesungguhnya dalam menarik perhatian pelabur-pelabur asing agar menanam modal di Malaysia, mereka akan melihat prestasi ekonomi negara secara kasar melalui Indeks tersebut.

Pun begitu, kita masih boleh menarik nafas lega kerana Bank Negara Malaysia (BNM) menyatakan bahawa Rizab negara masih ada pada kedudukan selamat iaitu AS$91.3 billion. Jumlah rizab ini dikatakan mampu membiayai kos import tertangguh selama 7 ke 8 bulan. Tidak hairanlah mengapa BNM baru-baru ini diiktiraf di peringkat antarabangsa sebagai Bank Pusat Terbaik Dunia oleh Pemenang Anugerah Nobel (ekonomi) Profesor joseph Stiglitz. Beliau mengatakan bahawa BNM Malaysia mampu memainkan peranan dengan baik berbanding dengan Bank Pusat Amerika Syarikat (AS) serta negara Eropah.

Semoga dengan pengumuman Pakej Ransangan Kedua oleh Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Kewangan Malaysia pada esok hari mampu memenuhi hasrat kerajaan untuk merancakkan kegiatan ekonomi negara agar berjalan seperti biasa dalam mengharungi kekebalan impak terburuk ekonomi dunia yang didasari oleh kegiatan sub prima Negara kuasa Unipolar dunia, Amerika Syarikat. Wallahu a'lam.

Sekadar berkongsi pendapat, Fikir-fikirkan .. .

Tiada ulasan: