.

Ahad, 29 Mac 2009

LEBIH 26,000 ORANG HILANG PEKERJAAN

KUALA LUMPUR 29 Mac- Sebanyak 26,224 orang telah diberhentikan kerja di negara ini sejak 19 Mac, kata pengarah eksekutif Persekutuan Majikan-majikan Malaysia (MEF) Shamsuddin Bardan hari ini.

Beliau memberitahu Bernama bahawa daripada jumlah itu, sebanyak 12,674 rakyat tempatan dan 6,651 warga asing diberhentikan kerja begitu saja, manakala selebihnya ditawarkan skim pemisahan sukarela (VSS).

Shamsuddin berkata beliau menjangka lebih banyak pekerja akan hilang pekerjaan beberapa minggu akan datang sekiranya keadaan ekonomi semasa tidak segera diperbaiki.

Katanya bajet mini yang diumumkan baru-baru ini juga tidak banyak memberi kesan terhadap syarikat atau memberi rangsangan segera kepada mereka bagi mengekalkan pekerja masing-masing.

Selain pengurangan sumbangan sebanyak 0.5 peratus kepada Tabung Pembangunan Sumber Manusia (HRDF), tiada apa yang diperoleh daripada bajet itu, katanya.

Beliau berkata walaupun pengurangan kadar sumbangan kepada tabung berkenaan boleh menyumbang kira-kira RM300 juta setahun kepada sektor pembuatan, namun ia tidak mencukupi kerana syarikat terjejas teruk akibat kejatuhan ekonomi kebelakangan ini.

Sehubungan itu, beliau mencadangkan agar syarikat yang mengekalkan pekerja masing-masing diberi subsidi secara langsung, seperti yang dilaksanakan di negara jiran.

Shamsuddin berkata majikan sedang berusaha sedaya upaya untuk tidak memberhentikan pekerja dan mengekalkan perniagaan masing-masing.

Mengenai cadangan bajet mini untuk menaikkan levi bagi pekerja asing, beliau berkata langkah itu tidak akan menghalang majikan daripada terus mengambil warga asing sebagai pekerja kerana rakyat tempatan tidak berminat bekerja dalam sektor tertentu.


( Bernama )


Tiada ulasan: