.

Ahad, 29 Mac 2009

SEBATANG DUA BUKIT

Hari ini negara mencipta sejarah dalam sistem pilihanraya yang bakal dilaksanakan April nanti. Rekod ini pastinya melambangkan negara Malaysia masih menjunjung amalan demokratik berperlembagaan.

Sebagaimana yang diumumkan oleh Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) pagi tadi, pertandingan dalam pilihanraya kecil di Bukit Selambau nanti bakal menyaksikan 15 calon yang berentap menjuarai hati rakyat. Penamaan calon Dewan Undangan Negeri (DUN) di kawasan berkenaan selesai diumumkan petang tadi. Barisan Nasional diwakili oleh Datuk S. Ganesan manakala Pakatan menampilkan S. Manikumar. Selebihnya adalah calon bebas yang terdiri daripada R. Loganathan yang menggunakan logo kelapa sawit, Tan Hock Huat (logo kunci), Radzi Md Lazim (logo kerusi), Mohd Fadzil Abdul Wahab (logo kepala harimau), Abdul Rahim Abu (logo jam loceng), L. Sarala (logo basikal), A. Jayagopal (logo payung), S. Moganakumar (logo buku), Khamis Awang (logo ayam jantan), Husaini Yaacob (logo bas), M. Vanesan (logo ikan), Mejar (B) Anuar Abd Hamid (logo telefon) dan T. Chandrarajan (logo kapal terbang).

Masing-masing mempunyai maksud yang tersendiri melambangkan ideologi mereka dalam memenuhi aspirasi perjuangan tersendiri. Kekalutan politik negara yang tercetus belakangan ini di antara dua pihak utama dilihat acap kali menimbulkan kontroversi dalam kalangan rakyat terutama pengikut fanatik masing-masing. Justeru, hal inilah yang memungkinkan calon bebas ini berani bertindak untuk bertanding memandangkan masyarakat semakin 'mual' dengan sikap sesetengah pihak terhadap politik tanah air.

Ada yang berpendapat keadaan ini berlaku akibat perpecahan dalam Pakatan memandangkan calon Bebas ramai yang terdiri daripada golongan yang tidak berpuas hati dengan calon Pembangkang di kawasan tersebut. Ada pula yang mempunyai dapatan bahawa senario ini berlaku dek kerana strategi pihak tertentu dalam menyusun undian agar pecahannya berpihak kepada golongan yang dituju. Apa jua alasan, inilah realiti yang menyaksikan betapa subur amalan demokrasi di Malaysia.

Berbeza pula di Bukit Gantang. Pilihanraya yang bakal berlaku pada hari sama hanya menunjukkan pertandingan tiga penjuru seperti biasa iaitu bekas Menteri Besar Perak; Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin, Barisan Nasional pula diwakili Ismail Safian dan calon Bebas; seorang ahli perniagaan dikenal sebagai Kamarul Ramizu.

Di kawasan Batang Ai, dua calon iaitu Malcom Mussem Lamoh dari Barisan Nasional (BN) dan Jawah Gerang dari Parti Keadilan Rakyat (PKR) menjadi perhatian media pagi tadi. Mereka bakal merebut jawatan dalam kawasan Dewan Undangan Negeri terbabit setelah kematian penyandangnya tempoh hari.

Adat 'patah tumbuh hilang berganti' akan terjawab pada tanggal 7 April 2009 ini. Justeru, pelbagai persediaan dalam strategi kempen daripada calon-calon berkenaan bakal memeriahkan ruang akhbar, media elektronik, blog-blog internet, dan mungkin juga sehingga ke warung kopi. Spekulasi bakal menyerlah di sana-sini. Fitnah dan khabar angin akan terus berulang kembali.

Kepada pihak Barisan, ujian kali ini bakal menguji tahap signifikan pertubuhan berkenaan kepada rakyat setelah perubahan besar yang dilakukan dalam saf kepimpinan setelah selesai Mesyuarat Agong UMNO baru-baru ini.

Di pihak Pakatan pula, pentas kali ini bakal menguji keberkesanan perjuangan mereka selama ini. Samada kesetiaan rakyat masih berpihak kepada mereka untuk meneruskan kemenangan bergaya selepas Permatang Pauh dan Kuala Terengganu atau merencana pelbagai strategi baru lain yang harus difikir serta dirangka.

Hasrat yang pasti, dalam perebutan se'batang, dua bukit' nanti siapa pun yang akan menang maka tanggungjawab perlulah diutamakan. Kuasa rakyat menentukan demi kebajikan mereka terpelihara dan mendapat perhatian. Agenda salah-menyalah harus segera ditamatkan demi perpaduan dan kedamaian negara.

Apakah agaknya kemungkinan yang akan berlaku hasil akhir ketiga-tiga kawasan pilihanraya kecil ini nanti? Adakah "sirih masih sudi untuk pulang ke gagang?" atau "sejarah dahulu yang pastinya akan berulang?"
Sama-sama kita nantikan.
Wallahu a'lam.

Hanya bisikan,
Fikir-fikirkan .. .



Tiada ulasan: