.

Selasa, 3 Mac 2009

DEMOKRASI: HELAH BARAT MEMALUKAN


___________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________
Seluruh dunia tahu akan makna DEMOKRASI yang menjadi gagasan barat sehingga berjaya melobi warga dunia agar mengiktiraf sistem berkenaan. Lantas, sistem monarki atau autokrasi yang pernah diguna pakai di beberapa buah negara terhapus dek sistem demokrasi ciptaan barat. Hatta, sistem 'syura' yang menjadi sunnah Rasullulah dalam pemilihan pemimpin Islam di negara-negara Islam hari ini juga telah ditinggalkan.

Demokrasi
bermaksud suatu bentuk kerajaan dimana kuasa menggubal undang-undang dan struktur kerajaan adalah ditentukan oleh rakyat. Dalam sistem demokrasi, undang-undang digubal samada oleh rakyat atau wakil yang dipilih oleh rakyat. Sebuah negara atau kerajaan yang mengamalkan sistem demokrasi adalah dipanggil negara atau kerajaaan yang demokratik.

Andai inilah interpritasi gagasan demokrasi suara barat, ternyata helah mereka teramat memalukan seandainya ditinjau dari isu Palestin. Benar... Fatah adalah kerajaan Palestin sebelum ini. Fatah yang dilihat pro-barat terlalu mengikut telunjuk sehingga memaksa penderitaan rakyat negara itu selama 58 tahun. Justeru, dengan konsep DEMOKRASI ciptaan barat jualah pada tahun 20o6 penduduk Palestin telah 'beralih arah' dengan mengiktiraf Hamas sebagai kerajaan baru untuk meminpin mereka. Pilihanraya pada tahun itu juga menyaksikan ketelusan dalam pengundian seperti yang disahkan oleh pemerhati politik antarabangsa.

Namun, dek kerana Hamas adalah sebuah parti yang terkenal dengan penyerang/pengebom berani mati, serta dasarnya yang tidak mahu mengikut telunjuk barat maka kerajaan Hamas yang memenangi pilihanraya ketika itu dinafikan hak pemerintahannya. Fatah yang tidak berpuas hati dengan keputusan itu mendesak agar diwujudkan pakatan kepimpinan bersama. Tetapi, mustahil sabuah bahtera yang belayar mempunyai dua kemudi berbeza arah tujuan. Keadaan ini mengheret kerajaan campuran Fatah-Hamas sehingga perjanjian dilaksanakan di hadapan Kaabah. Akhirnya, mereka tetap berpecah disebabkan matlamat perjuangan yang tidak sehaluan.

Perpecahan inilah sebenarnya memberi ruang dan peluang kepada Yahudi di Israel untuk meneruskan agenda menakluk keseluruhan negara Palestin tersebut. Justeru, negara yang berada pada kedudukan strategik pada peta dunia ini terus menjadi bahan peperangan serta pengeboman oleh tentera rejim Zionis. Negara-negara jiran pula masing-masing mendiamkan diri. Ada yang berpendapat tidak mahu campur tangan kerana 'terhutang budi' dengan barat yang sekian lama menghulurkan bantuan berbentuk ekonomi terhadap negara masing-masing. Ada pula yang sanggup bertelagah dek kerana ingin mejadi 'wira' menganjurkan sidang tergempar tentang peperangan di Palestin. Tidak kurang pula, yang menyekat kemaraan warga pelarian sehingga sanggup menutup pintu sempadan antara negara mereka dengan Palestin. Nasib penduduk Palestin tidak ubah seperti sudah jatuh ditimpa tangga.

Baru-baru ini satu persidangan telah dianjurkan oleh Mesir di Sharm El Sheikh. Tujuannya untuk mengumpul dana bagi pembangunan Palestin setelah dibedil begitu teruk oleh tentera rejim akhir Disember lalu selama 22 hari. Tujuan yang nampak 'murni' ini sebenarnya penuh dengan kecacatan. Apa tidaknya? Sedang Hamas masih kerajaan DEMOKRATIK yang sah untuk penduduk Palestin ketika ini. Namun, mengapa tidak ada seorang pun wakil mereka dijemput oleh Mesir? Inilah silapnya negara Islam Mesir yang sama sahaja seperti Fatah menurut telunjuk barat. Barat sememangnya tidak senang dengan Hamas kerana tidak mengiktiraf Israel sebagai sebuah negara Yahudi. Masalahnya, mana mungkin Hamas akan mengiktiraf mereka kerana tanah asal Israel adalah hak milik penduduk Palestin yang sebahagiannya dimeterai oleh perjanjian dan sebahagian lagi dikuasai dengan peperangan. Andai Hamas mengiktiraf Israel sebagai sebuah negara maka seolah-olah kerajaan Palestin ini sedang 'mencampakkan seekor pelanduk ke dalam mulut harimau'.

Sudahlah tiada wakil Hamas yang dijemput sama menghadiri Persidangan Pembangunan Semula Gaza tersebut, dana yang diperuntukkan juga dikawal ketat agar tidak 'jatuh' ke tangan kerajaan Hamas. Sedangkan Hamaslah sepatutnya yang menerima bantuan tersebut bagi membangunkan semula negara Palestin.

Setiausaha Amerika Syarikat; Hillary Clinton menyatakan bahawa dana yang disumbang kononnya untuk mewujudkan perdamaian antara Israel dan Palestin. Apakah jaminan beliau berkata demikian? Adakah dengan sumbangan pembangunan Palestin yang berjaya dikutip ini maka selepas ini tidak akan berlaku lagi peperangan oleh Israel yang sentiasa dahagakan darah rakyat Palestin ???

Hillary dalam Persidangan ini telah mengumumkan dana bantuan sebanyak RM3.15 billion bagi pembangunan semula Gaza. Beliau juga menegaskan tujuan utama bantuan ini adalah bagi memantapkan kerajaan pimpinan Presiden Mahmoud Abbas. Ini jelas sekali menunjukkan bahawa barat hanya menyokong mereka yang setia menjadi seperti lembu yang ditarik hidungnya. Walhal, kerajaan yang sah Palestin ketika dan saat ini ialah Hamas!

Hillary mendukung kerjasama yang diberikan oleh Mahmoud dan Perdana Menteri Salam Fayyad. Kononnya ingin mengatasi krisis kemanusiaan serta infrasturktur yang telah ranap. Masalahnya, bagaimana bantuan ini dijamin sampai ke 'tangan' yang sepatutnya sedangkan Israel masih lagi menyekat kemaraan bantuan seluruh dunia untuk memasuki Palestin. Segala penat lelah kita yang menganjurkan Konsert Amal Palestin, Kutipan Derma dan Sumbangan untuk Palestin, dan sebagainya; sebenarnya tidak sampai ke sasaran. Segala bentuk dana dan bantuan dikawal oleh tentera Yahudi. Bantuan yang sampai hanyalah melalui Fatah. Persoalannya, benarkah Fatah telus menyerahkan segala bantuan yang hadir dari segenap pelusuk dunia?? atau ada 'tangan-tangan' lain yang menggapai sebelum masuk ke pintu sempadan di Palestin??

Apa sekali pun, Persidangan terbaru tajaan Mesir ini memperlihatkan jumlah sebanyak RM700 juta yang bakal menampung kekurangan bajet kerajaan Fatah! RM1.4 billion lagi untuk pemulihan ekonomi serta sektor swasta dan projek-projek lain di tebing Barat.

Ironinya, sikap barat yang mengagung-agungkan slogan D.E.M.O.K.R.A.S.I sebenarnya tidak ubah seperti meludah ke langit. Mereka bersungguh-sungguh melobi dunia membuktikan demokrasi adalah pilihan terbaik dalam politik semasa. Acuan mereka jualah sebenarnya menunjukkan helah barat ini memalukan diri sendiri. Kerajaan Hamas pimpinan Ismail Haniyyeh merupakan kerajaan sah Palestin sejak 2006 selepas pilihanraya yang dianggap paling adil, bersih dan lancar oleh pemerhati politik antarabangsa. Namun, barat menafikan hak kerajaan Hamas untuk memerintah Palestin. Dunia Islam terus membisu. OIC pula sekadar membantu setakat termampu.

Hanya yang diharapkan agar ummah Islam seluruh dunia kembali bersatu di bawah naungan dua pusaka yang ditinggalkan Nabi tercinta. Andai berharap 'campur tangan' dari langit untuk pembebasan hak warga Palestin tanpa sepakat menyatukan saudara seislam, hidup dalam perpecahan serta menggalakkan percakaran maka tunggulah saat yang akan tiba kelak.

Perasaan dari hati kecil.
Fikir-fikirkan...

______________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________

Tiada ulasan: