.

Selasa, 3 Mac 2009

BULI: ANTARA GURU, PIPP, IBUBAPA DAN MASYARAKAT .. .


_______________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________
Mutakhir ini kejadian buli sering kali berlaku dikalangan pelajar tidak kira samada pelajar sekolah, pelajar institusi pengajian tinggi atau sebagainya. Di manakah silap dan salahnya ?? Ada yang mendakwa sistem yang terkandung di bawah Pelan Induk Pembangunan Pendidikan (PIPP) yang bertujuan menghasilkan pendidikan berkualiti hanyalah 'cinta di atas kertas' semata-mata. Ada pula pihak yang mendakwa sikap pentadbir serta guru-guru berkenaan mengambil jalan mudah dan melepaskan tangan dengan tanggungjawab yang telah diamanah. Terdapat juga sebahagian masyarakat yang menyalahkan institusi kekeluargaan itu sendiri dan sebagainya.

Apa pun tanggapan yang diberikan, sebenarnya semua pihak terlibat dalam isu yang menjadi 'luka menjadi nanah' ini. Kita punyai kerangka yang baik untuk melahirkan pemimpin minda dan ciri ketrampilan kelas pertama menjelang tahun 2020. Namun, warga yang bakal memimpin negara tercinta pada hari ini cukup menakutkan kita semua. Berita yang dihambat seakan lebih menakutkan daripada pelbagai kisah seram.

Sebelum ini kita pernah digemparkan dengan kejadian buli di salah sebuah Sekolah Menengah Agama dekat Seremban. Kejadian yang dilakukan oleh pelajar tingkatan menengah atas tersebut mengakibatkan mangsa meninggal dunia akibat kecederaan parah di kepala dan beberapa bahagian penting lain.

Baru-baru ini, kejadian buli di sebuah sekolah berasrama di Sarawak turut mencuri tumpuan masyarakat. Kes yang telah disiasat polis ini diketahui umum selepas rakaman kejadian tersebut dimasukkan ke dalam laman video 'Youtube'. Justeru, polis telah bertindak dengan mengambil keterangan sepuluh orang pelajar sekolah berkenaan yang disyaki terlibat. Kes ini turut dibahas sehingga ke Parlimen untuk memastikan kementerian berkenaan merangka strategi dan tindakan yang lebih agresif demi membendung gejala tersebut daripada terus berulang.

Benar.. . ada pihak yang menyalahkan pelajar yang menjadi mangsa dalam klip video selama 3 minit tersebut kerana kesalahan mencuri. Namun, sebaiknya pelajar-pelajar yang 'membuli' sepatutnya melaporkan kejadian itu kepada guru yang bertanggungjawab untuk diselesaikan. Bukan bertindak melampaui batas atas kapasiti sendiri sehingga menyebabkan kecederaan kepada mangsa. Selain akan memburukkan nama sekolah berkenaan; nama keluarga serta masa hadapan pelajar yang terlibat juga pasti akan memberi kesan yang tidak baik.

Belum pun reda masalah di Sarawak, timbul pula cerita sama di beberapa buah negeri lain. Di Terengganu misalnya, Sekolah Menengah Kebangsaan Seri Serating, Marang berlaku kes seorang pelajar 16 tahun cedera di pukul rakannya. Manakala di sebuah sekolah menengah di Kemasik, Kemaman pula timbul kes tumbuk-menumbuk di kalangan pelajarnya.

Bagi kes-kes sedemikian, pihak sekolah perlu bertindak melaporkan kepada pihak berwajib agar masalah seterusnya tidak akan timbul. Kebanyakan sekolah mengambil sikap berdiam diri dengan menyorokkan kes-kes sehingga menjadi duri dalam daging. Andai kejadian yang berlaku mampu ditangani secara baik oleh pihak sekolah maka tidaklah menjadi suatu masalah. Tetapi, kejadian yang melibatkan masalah disiplin pelajar sehingga memudaratkan dan mencederakan harus dipandang serius. Janganlah disebabkan status sekolah yang terkenal atau tidak mahu nama serta rekod sekolah menjadi 'buruk' sehingga memberi kesan kepada jawatan yang disandang maka kes-kes sebegini dibiarkan begitu sahaja. Andai ini berlaku maka kita tidak ubah seperti menggadaikan maruah negara kerana membiarkan bakal pemimpin negara bersikap gengstrism.

Persoalan pokok ini perlu dikaji sedalam-dalamnya bagi melahirkan kerangka yang bakal dilaksana demi mengatasi permasalahan yang timbul. Hal ini penting melihatkan kejadian yang menimpa pelajar kita akhir-akhir ini bukan sahaja melibatkan sekolah harian biasa. Malah, sekolah-sekolah yang diklasifikasikan sebagai wadah untuk melahirkan insan cemerlang & cerdik pandai pun terlibat sama. Misalnya, di Maktab Rendah Sains MARA Kuantan, Pahang yang dilaporkan berlaku kejadian buli oleh pelajar senior. Pelajar yang berada di tingkatan 4 tersebut meminta pelajar juniornya membelikan minuman dalam tin tetapi pelajar tersebut enggan membelikannya. Justeru, pelajar senior tadi dengan tiga rakan lain membelasah sehingga mendatangkan kecederaan kepada mangsa.

Ada juga kes seorang pelajar Institusi Pengajian Tinggi Swasta yang memukul pensyarahnya sehingga parah. Walau pun ini bukanlah kes yang diklasifikasikan sebagai buli, namun sifat gengsterism sebegini mampu membuatkan pelajar tersebut berani bertindak untuk membuli rakan-rakan lain. Oleh itu, pihak polis telah mengambil tindakan terhadap pelajar tersebut di bawah seksyen 147 kanun keseksaan kerana mendatangkan kecederaan kepada mangsa.

Semua yang disenaraikan tadi cuma kes-kes yang dilaporkan oleh mangsa sahaja. Bagaimanakah pula nasib mereka yang tidak melaporkan kerana takut atau diugut ??

Kebiasaannya dalam hal sebegini masyarakat terutamanya ibu bapa sering menyalahkan pentadbiran sekolah kerana kecuaian tanggungjawab yang sepatutnya dilaksanakan. Masalahnya, tatkala anak-anak mereka 'dijentik' sedikit pun, ada yang sanggup menyerang guru berkenaan secara peribadi. Hatta, pengalaman penulis menjadi guru pun ada ibu bapa yang sanggup membawa peguam hanya kerana pihak sekolah memanggil mereka untuk menyelesaikan masalah disiplin anak masing-masing. Inilah realiti ibu bapa zaman sekarang. Seharusnya mereka bertindak rasional dengan mendengar kedua-dua belah pihak sebelum menghukum sesiapa. Guru tidak sepatutnya dijadikan musuh mereka. Guru juga tidak pernah terlintas untuk memarahi atau memukul anak didik melainkan sebagai pengajaran terhadap mereka.

Tidak cukup dengan itu, terdapat juga stigma masyarakat kita yang sering menyalahkan sistem PIPP yang dirancang kerajaan. Sesungguhnya, kerajaan telah berusaha dengan sedaya upaya untuk memastikan sukatan pelajaran, pembelajaran dan subjek yang diajar adalah yang terbaik untuk anak-anak kita. Pelajaran seperti Pendidikan Islam dan Pendidikan Moral yang menerapkan ilmu agama serta nilai-nilai murni, Subjek Sivik yang menekankan peri pentingnya jati diri serta semangat kenegaraan, dan subjek-subjek berkaitan lain telah dikaji sepenuhnya oleh kementerian yang berkenaan.

Maka, disinilah peranan guru-guru yang mengajar agar mendidik pelajar sebahis-habisnya. Bukan hanya sekadar memenuhi kriteria bagi menghadapi peperiksaan semata-mata. Cara penyampaian perlulah lebih berkesan agar pelajar benar-benar memahami dan menghayati pelajaran tersebut. Namun, kita perlu faham bahawa kerjaya sebagai seorang guru juga ada batas kesabarannya. Bukan mudah untuk mendidik ramai pelajar dalam satu masa. Justeru, wajar kiranya mereka diberi ruang untuk bekerjasama dengan ibu bapa yang akhirnya mampu membentuk pewaris negara yang sempurna.

Pihak media juga mestilah memainkan peranan mereka. Media elektronik sebagai contoh sepatutnya menapis rancangan-rancangan berbentuk keganasan seperti WWF. Unsur yang dipapar walau pun tidaklah 100% menyumbang kepada isu ini namun kecenderungan pembentukan keperibadian mereka ke arah aksi-aksi yang ditonjolkan sedikit sebanyak mempengaruhi persepsi serta pemikiran mereka. Kita perlu faham bahawa peringkat pelajar adalah proses mereka mencari jati diri serta identiti diri sendiri. Justeru, media harus berperanan menyampaikan informasi berguna demi meningkatkan daya intelek masyarakat kita khusunya golongan berkenaan. Program berbentuk diskusi, forum, dan mendidik amat digalakkan. Media cetak juga boleh memainkan peranan yang tersendiri dalam membentuk pemikiran para pelajar agar mereka lebih matang untuk mendepani perkara seharian yang berlaku dalam kehidupan.

Sebagai penutup, penulis menyeru semua guru, ibubapa, masyarakat dan pihak yang terlibat agar sama-sama berganding bahu serta saling memahami peranan & tugas masing-masing. Kita juga harus menggalakkan pemantauan secara berterusan dan konsisten terhadap pelajar-pelajar agar mereka mendapat perhatian yang sewajarnya. Dalam usia yang masih muda mereka sedang meneliti identiti dan keperibadian untuk diteladani. Semoga kita adalah sebahagian 'role model' yang akan menjadi ikutan mereka sehingga mengecapi kejayaan pada masa akan datang. Melahirkan insan cemerlang masa hadapan bermula daripada kita sekarang.

Sekadar berkongsi,
Fikir-fikirkan .. .

_________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________

Tiada ulasan: