.

Selasa, 24 Februari 2009

MALAYSIA, EMPAT BURSA ASEAN LAKSANA E-TRADING

___________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________

Urus niaga sepadu tingkat daya saing, tarik dana antarabangsa

BURSA Malaysia bersama empat bursa saham utama Asean merangkumi Singapura, Indonesia, Thailand dan Filipina, semalam bersepakat menyepadukan urus niaga bursa masing-masing menerusi penubuhan rangkaian hubungan dagangan elektronik (e-trading) Asean.

Langkah itu akan membolehkan pelabur, mulai tahun depan berurusniaga secara terus di pasaran terbabit, yang mempunyai permodalan pasaran keseluruhan mencecah lebih AS$1 trilion.


Ketua Eksekutif Bursa Malaysia, Datuk Yusli Mohamed Yusoff berkata, penubuhan rangkaian hubungan dagangan elektronik Asean itu akan meningkatkan daya saing pasaran ekuiti negara masing-masing.

“Rangkaian e-trading Asean itu menerusi akses tunggal setempat akan membolehkan urus niaga antara sempadan Asean dan bakal menarik lebih banyak dana antarabangsa ke rantau ini,” katanya dalam kenyataan bersama semalam.

Memorandum persefahaman bagi penubuhan e-trading Asean itu dimeterai Bursa Malaysia, Bursa saham Singapura (SGX), Bursa Saham Indonesia, Bursa Saham Filipina (PSE) dan Bursa Saham Thailand (SET), di Bangkok, semalam.

Yusli berkata, langkah menyatukan hubungan rangkaian urus niaga dengan pemilik berbeza adalah yang pertama diperkenalkan di rantau ini.


“Konsep sama dan lebih maju sudah diwujudkan di Eropah, bagaimanapun membabitkan pemilik bursa yang sama.

“Langkah seterusnya selepas ini adalah mengadakan kerjasama dengan rakan teknologi bagi mencari kaedah bagaimana urus niaga boleh dibuat. Apabila siap kelak, pelabur boleh melabur di pasaran negara lain tanpa perlu menghubungi broker di negara berkenaan,” katanya.

Sementara itu, Presiden SET, Patareeya Benjapolchai, berkata kelima-lima bursa itu kini dalam proses mengkaji platform teknologi dan tarikh sesuai bagi pelaksanaan rangkaian e-trading.

“Rangkaian hubungan itu dijangka diwujudkan tahun depan. Selain daripada lima bursa yang sudah memeterai MoU itu, rangkaian itu juga terbuka kepada bursa Asean lain yang berminat menyertainya,” katanya.

Pasaran Asean yang merangkumi Malaysia, Indonesia, Filipina, Thailand, Vietnam, Myanmar, Singapura, Kemboja, Laos dan Brunei, sebelum ini menjadi destinasi pelaburan popular kepada pelabur Jepun dan negara barat.

Bagaimanapun, populariti pasaran terbabit dibayangi oleh kemunculan China dan India sebagai peneraju baru pasaran pada dekad lalu.

Menteri Kewangan Thailand, Korn Chatikavani, berkata kerjasama rapat di kalangan pasaran serantau amat penting untuk kekal relevan pada peringkat global.

“e-trading Asean akan menggalakkan urus niaga antara Asean dan pasaran modal yang lebih bersepadu akan meningkatkan profil rantau ini kepada komuniti pelabur global,” tegasnya.

Ketua Ekskutif SGX, Hsieh Fu Hua, berkata kelima-lima bursa Asean itu juga akan bekerjasama untuk menjadikan rumah penyelesaian masing-masing sebagai pusat untuk menyelesaikan urus niaga antara sempadan.

“Syarikat broker akan meraih manfaat daripada hubungan dengan rumah penyelesaian masing-masing, tanpa perlu mengambil risiko pihak asing,” katanya.

-dipetik dari Berita Harian: 24 Feb 20o9-

______________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________

Tiada ulasan: