.

Selasa, 24 Februari 2009

ISU "KLISYE" : ARTIKEL 11, PERLEMBAGAAN PERSEKUTUAN

___________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________

Hari ini perdebatan cukup hebat dengan usul yang dibentangkan di Dewan Rakyat berkenaan Artikel 11 (1) Perlembagaan Persekutuan. Sebelum pergi lebih jauh, marilah kita sama-sama kenali kandungan artikel 11 ini secara keseluruhannya.


Ia menjamin kebebasan beragama. Perkara 11 ditakrifkan seperti berikut:

11. Kebebasan beragama.

(1) Tiap-tiap orang berhak menganuti dan mengamalkan agamanya dan, tertakluk kepada Fasal (4), mengembangkannya.

(2) Tiada seorang pun boleh dipaksa membayar apa-apa cukai yang hasilnya diuntukkan khas kesemuanya atau sebahagiannya bagi maksud sesuatu agama selain agamanya sendiri.

(3) Tiap-tiap kumpulan agama berhak --

(a) menguruskan hal ehwal agamanya sendiri;

(b) menubuhkan dan menyenggarakan institusi-institusi bagi maksud agama atau khairat; dan

(c) memperoleh dan mempunyai harta dan memegang dan mentadbirkannya mengikut undang-undang.

(4) Undang-undang Negeri, dan berkenaan dengan Wilayah-Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya, undang-undang persekutuan boleh mengawal atau menyekat pengembangan apa-apa doktrin atau kepercayaan agama di kalangan orang yang menganuti agama Islam.

(5) Perkara ini tidaklah membenarkan apa-apa perbuatan yang berlawanan dengan mana-mana undang-undang am yang berhubungan dengan ketenteraman awam, kesihatan awam atau prinsip moral.”


Artikel ini sebenarnya telah lali dengan masyarakat Malaysia. Apa tidaknya, bermacam-macam kontroversi telah berlaku dalam negara akibat beberapa klausa daripada Artikel 11 ini. Isu berhubung kes Azlina Jailani atau Lina Joy, isu berkaitan Encik Moorthy seorang wira pendaki Gunung Everest dan banyak lagi. Ironinya, kes-kes sebegini memerlukan pemahaman yang mendalam memandangkan artikel ini menyentuh sensitiviti agama. Artikel 11 pernah diperjuangkan pada Jun 2006 dengan sokongan lebih 20,000 tandatangan yang berjaya diperoleh sebagai 'petition' melalui sepucuk surat yang diserahkan kepada Perdana Menteri. Dua tahun sebelum itu artikel ini jugalah yang menarik perhatian dan telah menjadi bahan perdebatan serta diskusi tertutup dalam forum-forum yang dianjurkan pihak tertentu.

Perkara pokok yang menjadi perhatian dalam Artikel 11 ini lebih tertumpu kepada fasal (1) yang berbunyi:

"(1)Tiap-tiap orang berhak menganuti dan mengamalkan agamanya dan, tertakluk kepada Fasal (4), mengembangkannya." --sila rujuk Fasal 4 juga.

Justeru, benarkah artikel ini memberi kebebasan secara keseluruhan terutama terhadap penganut agama Islam ..?? Adakah artikel ini mencabar kewibawaan Agama Islam yang telah acap kali diwar-warkan menjadi agama rasmi negara kita ?? Sudah tentu jawapannya:

"TIDAK!!!"

"Tertakluk kepada Fasal (4)" memerlukan tafsiran yang lebih meluas untuk memahami situasi yang sebenarnya kepada penganut Agama Islam. Perkara 11 (4) Perlembagaan Persekutuan ini memperuntukkan bahawa "undang-undang negeri dan Persekutuan boleh digubal untuk mengawal atau menyekat pengembangan apa-apa doktrin atau kepercayaan agama bukan Islam di kalangan orang yang menganuti agama Islam."

Maka, andai kita sedari dengan situasi beberapa negeri di negara kita ketika ini, ada 10 buah negeri yang mempunyai enakmen Kawalan dan Sekatan Pengembangan Agama Bukan Islam kepada Orang Islam iaitu Negeri Terengganu, Kelantan, Selangor, Perak, Melaka, Kedah, Pahang, Negeri Sembilan, Johor dan Perlis. Inilah yang cuba diungkap oleh Datuk Seri Mohamad Nazri Abdul Aziz tatkala menjawab persoalan yang dibangkitkan oleh YB Kulim Bandar Baru dalam Dewan rakyat lalu.

Artikel 11 ini tidaklah sepatutnya dijadikan hujah untuk menyatakan bahawa umat Islam boleh mengubah agama (murtad) sesuka hati sahaja. Bahkan, jika diteliti sedari awal artikel dalam Perlembagaan Persekutuan ini, sebenarnya Artikel 11 amat menghormati Artikel 3 (1) Perlembagaan Persekutuan. Apakah kandungannya ..???


Artikel 3 (1) Perlembagaan Persekutuan:

"Islam ialah agama bagi Persekutuan; tetapi agama-agama lain boleh diamalkan dengan aman dan damai di mana-mana bahagian Persekutuan.”

Klausa ini membuktikan bahawa Agama Islam mempunyai keistimewaanya yang tersendiri. Namun, di negara kita walaupun telah lebih 50 tahun menggapai kemerdekaan; kemelut yang melanda perundangan terutama institusi keadilan seperti mahkamah amat menyedihkan. Hingga ke hari ini sebenarnya masih lagi terdapat perbalahan serta konflik yang berlaku dek kerana pertembungan fahaman antara undang-undang Syariah dengan undang-undang sivil. Andai diimbas kembali, kes lina joy juga turut menerima tempias daripada situasi yang demikian ini. Penulis sangat bersetuju dengan pendapat yang diutarakan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri; Datuk Seri Mohamad Nazri Abdul Aziz menyatakan dalam Dewan Rakyat bahawa kerajaan tidak bercadang untuk meminda Perkara 11(1) Perlembagaan Persekutuan ekoran keputusan kes Lina Joy yang pernah menggemparkan kita. Beliau menambah seandainya dipinda maka pasti keadaan umat Islam di Malaysia akan menjadi huru-hara memandangkan Artikel 3 (1) tadi telah jelas menyatakan kedudukan Agama Islam sebagai agama rasmi negara.

Jika ada seseorang Islam yang berhasrat untuk keluar daripada Agama Islam, orang itu mestilah mendapatkan perintah atau pengisytiharan terlebih dahulu daripada Mahkamah Syariah yang berbidang kuasa sepertimana yang diperuntukkan di bawah enakmen Pentadbiran Agama Islam di negeri-negeri. Inilah yang cuba disampaikan dalam Fasal (4) Artikel 11.

Asas petikan Menteri di Jabatan Perdana Menteri ini ada benarnya. Melihatkan kepada Perkara 121 (1A) yang terang-terang menyatakan bahawa :


“[Mahkamah Tinggi sivil] tidaklah mempunyai bidang kuasa berkenaan dengan apa-apa perkara dalam bidang kuasa mahkamah Syariah.”

Maksudnya, persoalan berbangkit yang berada di bawah bidang kuasa Mahkamah Syariah maka Mahkamah Tinggi Sivil tidak berhak sama sekali untuk menghakimi perkara tersebut. Justeru, sudah pasti tiada percampuran dan krisis yang akan berlaku seandainya masing-masing faham dengan tugas dan tanggungjawab yang harus dipikul terutamanya mereka yang ditugas untuk menyelesaikan perkara-perkara sedemikian.

Hujah inilah juga yang sebenarnya membantutkan usaha Lina Joy untuk memadamkan nama 'Islam' dalam MyKadnya kerana gagal mendapat pengishtiharan daripada Mahkamah Syariah bagi membolehkan Jabatan Pendaftaran Negara 'menggugurkan' status Islamnya itu.

Kesimpulannya, Artikel 11 terutama Fasal (1) bukanlah bermaksud penganut Agama Islam boleh menukar agama sesuka hati. Anggap sahaja itu adalah klausa yang "dikhaskan" kepada agama-agama lain bertujuan membuktikan kebebasan serta keterbukaan Malaysia dalam menghormati pendirian & hak bukan Islam selama melayari bahtera kehidupan di negara ini.

Bagi umat Islam, artikel 11 (1) ini perlulah ditafsirkan sedalam-dalamnya. Prosedurnya menjadi lebih panjang dan berat. Mereka perlu terlebih dahulu mendapatkan kebenaran secara sah (pengisytiharan) daripada Mahkamah Syariah sebagai 'tiket' untuk memudahkan proses menukar agama (murtad).

Apa yang penulis harapkan agar mereka yang bergelar "I.S.L.A.M" maka bimbinglah anak-anak yang menjadi waris umat Muhammad s.a.w. ini. Didikan agama yang sempurna akan memantapkan jati diri serta keimanan mereka supaya tidak mudah goyah dengan fitnah dunia fana yang melanda sehingga sanggup meninggalkan agama pembela di hari muka. Tulisan ini sekadar renungan kita bersama. Semoga mendapat manfaat walau pun sedikit. Penulisan ini juga hanyalah berdasarkan pemahaman daripada pembacaan semata-mata. Segala yang salah datang daripada penulis dan yang benar lagi sahih hadir daripada Allah s.w.t.
Sekadar berkongsi, Fikir-fikirkan .. .
___________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________

Tiada ulasan: