.

Ahad, 8 Februari 2009

MALAM IRAMA WAHYU UiTM JOHOR




Alhamdulillah,
Pada malam 7hb feb semalam,UiTM Johor telah berjaya menganjurkan Malam Irama Wahyu bermatlamat mengumpul dana demi membantu rakyat Palestin yang menderita dek kekejaman rejim Zionis sejak 27hb Dec 2008 lalu. Dengan menampilkan pengacara yang cukup terkenal dikalangan warga UiTM Johor, Muhd Hafiz Mustaffa dan Ainul Affifah Ibrahim; Malam Irama Wahyu anjuran PERSATUAN NASYID IRAMA UiTM JOHOR ini telah menunjukkan kematangan walaupun usianya masih lagi 'setahun jagung'. Persatuan Irama adalah kumpulan nasyid yang baru sahaja bertapak di UiTM Johor sekitar tahun 2008 dengan diterajui oleh En Syamsyul Samsudin sebagai Penasihat persatuan. Program ini dijayakan oleh barisan artis nasyid yang terkenal iaitu INTEAM dan UNIC. Penonton bukan sahaja daripada kalangan warga UiTM Johor, malah turut hadir jemputan dari Politeknik Port Dickson, SMK Teknik Segamat, Kolej Jururawat Segamat dan Kolej Komuniti Segamat 2.
INTEAM membuka tirai persembahan dengan lagu dari album terbaru yang akan berada di pasaran bulan hadapan (Mac '09), iaitu Dia Muhammad. Disusuli dengan lagu yang pernah popular hasil adaptasi secebis kalam Maha Agung; yang juga menjadi doa harian iaitu lagu Nur Kasih serta lagu Ayah & Ibu yang pernah dipopularkan oleh Allahyarham Sudirman Hj Arshad. Malam Irama Wahyu diteruskan dengan persembahan kumpulan UNIC dengan lagu Jalinan Kasih dan Hanya Tuhan Yang Tahu. Bagi sesi kedua, INTEAM menyampaikan lagu Setanggi Syurga dan Hamzah Asadullah. Dituruti dengan UNIC yang menyampaikan lagu Remaja dan Ke Makam Bonda. Persembahan diakhiri dengan nyanyian bersama oleh kedua-dua kumpulan menerusi lagu UntukMu Palestin dan Selawat. Kehadiran mereka buat kali ke-3 ke UiTM Johor turut menampilkan corak persembahan yang lebih menarik kerana mereka banyak menyelitkan unsur-unsur nasihat, dakwah, dan kata-kata hikmah disamping sketsa yang bersahaja daripada penonton seperti Soim dan adik Akmal. Mesej boikot juga dicadangkan melalui edaran poster oleh ahli Kumpulan UNIC. Ketiadaan Bazli dalam kumpulan UNIC kali ini sedikit terubat dengan kehadiran anggota baru seperti saudara Mubarak dan Juara Akademi Al Quran, saudara Fakhrul. Bazli yang kini berada di Mesir dikhabarkan sedang melanjutkan pengajian menggunakan dana sendiri demi membuktikan kekuatan dirinya walaupun tanpa ibunda tercinta yang telah pulang mengadap Ilahi. Rata-rata penonton yang hadir pada Malam Irama Wahyu sangat terhibur. Pesanan daripada INTEAM dan UNIC, untuk mengikuti perkembangan mereka bolehlah melayari www.inteam.com.my atau inteammobile.com serta www.sahabatunic.com.
Program PERSATUAN IRAMA seterusnya iaitu Festival Nasyid Selatan (FENAS) dijangka akan diadakan pada bulan Mei 2009. Sebarang penyertaan bolehlah menghubungi pihak UiTM Johor melalui telefon atau faximili di laman web www.uitmjohor.com.my.
____________________________________________________________________

Tiada ulasan: