.

Selasa, 24 Februari 2009

DEBAT: ISU PPSMI & ISA DIHARAP PUPUK BUDAYA INTELEK PROFESIONAL PEMIMPIN MUDA


Hari ini (24 Februari 09), Naib Ketua Pemuda Umno, saudara Khairy Jamaluddin telah menerima surat pelawaan daripada Ketua Pemuda PAS, Salahudin Ayub yang menawarkan "Debat" sebagai platfom terbaik diskusi ilmu yang berbeza latar ideologi berkenaan isu hangat perjuangan Gabungan Penulis Nasional (GAPENA) iaitu Pengajaran & Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI). Surat yang diterima di lobi Parlimen tengahari tadi telah disambut baik oleh Khairy sebagai mewakili Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia. Walaupun hasrat awal Dewan Pemuda PAS ingin menyerahkan surat tersebut kepada Menteri berkenaan iaitu Datuk Seri Hishammuddin Hussein, namun tidak berhasil memandangkan beliau tidak menghadiri sidang Parlimen pagi semalam. Andai jemputan ini menerima reaksi positif kedua-dua belah pihak maka perkara lain yang dikhabarkan bakal mencuri tumpuan untuk dikupas bersama sedalam-dalamnya iaitu isu berkenaan Akta Keselamatan Dalam Negeri 1960 atau ISA.


Pada hemat penulis, ini merupakan suatu perkembangan positif dalam arena politik tanah air. Debat mampu memaparkan tahap kecekapan intelek seseorang pemimpin, budaya berfikir secara kritis dan kreatif, ketrampilan, sikap profesional dan berbagai-bagai lagi. Apa yang penting, pemimpin yang berdebat perlulah mampu menghujahkan isi bernas dan diterima akal serta fakta yang boleh 'memenggal' pihak lawan. Bukan setakat 'suam-suam kuku' yang akhirnya memberi persepsi negatif terhadap masyarakat yang akan menilainya sendiri.


Tahniah buat pemimpin sebelum ini yang terlibat dalam siri debat berkenaan isu kenaikan harga minyak dengan usul “Hari ini bentuk kerajaan, esok turun harga minyak”. Arena tersebut telah mencetuskan inspirasi serta membuka ruang untuk dijejaki oleh ahli-ahli berhormat lain. Siaran yang dipancarkan secara langsung terus dari Dewan Bahasa dan Pustaka ketika itu membuatkan masyarakat dapat menilai 'character' atau sifat kepemimpinan pemimpin mereka sendiri. Inilah juga paltfom yang digunakan oleh kebanyakan pemimpin negara-negara maju hari ini dalam membina keyakinan masyarakat terhadap ideologi yang menjadi prinsip/pendirian mereka.

Sememangnya tatkala disebut perkataan "Debat", majoriti masyarakat kita akan terbayang suasana cakar-mencakar dan perkelahian. Namun, andai stigma ini diketepikan dan diubahsuai mengikut cara, gaya dan nilai ketimuran kita maka situasi ini mampu menjadi sesuatu yang positif.

Seandainya benar debat ini akan menjadi realiti, Khairy dan Salahuddin harus berhujah dengan penuh karisma serta menggunakan fakta sahih/konkrit. Oleh kerana justifikasi perdebatan ini nanti bagi menggapai aspirasi bersama maka segala retorik dan polimik tidak harus menjadi 'penghangat' suasana. Kepentingan anak-anak yang bakal menerajui negara untuk meneruskan agenda nasionalisma yang sedia ada (PPSMI) serta kesejahteraan keselamatan rakyat Malaysia (ISA) perlu menjadi fokus utama ketika perdebatan berlangsung. "Tikam-menikam" atau serangan bersifat peribadi lawan juga tidak patut menjadi sandaran untuk meraih sorakan.

Hal-hal berkaitan kepentingan bagi memenuhi agenda parti politik masing-masing usah diketengahkan sama sekali. PPSMI adalah isu pendidikan manakala ISA pula isu keselamatan. Justeru, dua perkara ini tidak sesuai dipolitikkan sewenang-wenangnya. Kalau tidak, sesungguhnya kita tidak ubah seperti menggadaikan maruah masa depan negara yang akan menjadi huru-hara. Wallahu a'lam .. .

Sekadar berkongsi idea, Fikir-fikirkan...
_____________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________

Tiada ulasan: