.

Sabtu, 12 Februari 2011

TAMATNYA LEGASI MUBARAK

Hari ini (11/2/2011); dunia mencatat sejarah baru khususnya di bahagian Asia Barat. Setelah kebangkitan yang ditunjukkan oleh rakyat Beirut dan Tunisia sebelum ini maka skrip sama diteruskan dengan pengunduran pemimpin Mesir, Hosni Mubarak. Penyerahan kuasa kepada Naib Presidennya untuk membenarkan negara dipimpin sementara oleh tentera berlaku setelah lebih kurang lapan belas hari rakyatnya memberontak akibat beberapa isu kritikal berkaitan ekonomi: pengangguran, peningkatan paras kemiskinan serta kenaikan harga barang.

Legasi Mubarak yang telah menjangkau lebih tiga dekat dilihat tidak lagi mampu memberi kesan positif kepada rakyat Mesir. Bukan terhad kepada masyarakat sendiri malah meliputi jiran tetangga khususnya negara bergolak, Palestin. Sikap tunduk dan berpihak kepada negara bersikap unipolar, Amerika Syarikat menyebabkan Mubarak sering menjadi 'pak turut' terutama dalam isu pintu sempadan di Rafah.

Masyarakat dunia masih belum boleh lupa dengan tindakan Mubarak apabila sanggup menutup pintu sempadan tersebut tatkala rakyat Palestin menjadi pelarian dan berusaha menembusi sempadan itu bagi menyelamatkan nyawa masing-masing ketika Isreal melakukan serangan besar-besaran tidak lama dahulu. Konvoi yang terdiri daripada sukarelawan antarabangsa yang memohon kelulusan untuk melepasi pintu sempadan bagi menghantar bantuan seperti ubat-ubatan, makanan dan bahan binaan juga pernah disekat. Mungkin tidak keterlaluan jika dikatakan pengunduran Mubarak ini adalah balasan terhadap sikap beliau ini.

Persoalan.

Namun, secara spontan timbul beberapa persoalan.

Siapakah yang bakal memimpin negara Mesir selepas ini?

Apakah mereka pasti bahawa 'demokrasi' yang bakal mengambil alih sistem autokrasi yg telah tiga puluh tahun menjadi darah daging politik Mesir bakal merubah lanskap geopolitik negara tersebut secara total?

Dapatkah pimpinan terbaru nanti menebus 'dosa' Mesir terhadap rakyat Palestin sebelum ini khususnya isu pintu sempadan Rafah?

Berita jam 8 malam di salah sebuah stesyen televisyen yang penulis tonton sebentar tadi menyaksikan suara lantang oleh beberapa pemimpin tertentu yang melihat kepentingan mereka bakal/telah tergugat dengan berakhirnya 'Dinasti' Mubarak ini.

Nicolos Sarkozy, Presiden Perancis misalnya secara terang dalam satu wawancara berpendapat beliau tidak mahu melihat pengganti Mubarak nanti adalah mereka yang terdiri daripada golongan Agama. Nada yang sama disuarakan oleh Menteri Pertahanan Isreal, Ehud Barak. Pastinya mereka menjunjung falsafah keturunan moyang mereka yang berfikiran bahawa politik harus dipisahkan daripada aspek keagamaan. Hal ini kerana mereka sedar golongan tersebut akan membawa 'ancaman' terutama dalam hubungan bilateral Mesir-Israel. Jika tidak, apakah alasan mereka secara praktikal untuk berfikiran sedemikian? Anda jawab!

Respon klise juga turut menjadi ikutan oleh Amerika Syarikat. Presiden yang dikatakan 'bakal merubah dasar luas AS' semasa kemenangannya menjadi pemimpin negara itu dahulu juga memberi reaksi seolah-olah mencampuri urusan dalaman Mesir. 'Demokrasi': menjadi gagasan beliau untuk menggantikan sistem kuku besi yang ada di negara bergolak tersebut.

Umum mengetahui bahawa semasa George W. Bush dan bekas-bekas Presiden AS sebelum ini pun banyak melobi pemimpin sesebuah negara untuk melaksanakan proses demokrasi ala AS. Dengan cara ini mereka akan manaja pemimpin yang pro-AS dan bertindak menjatuhkan pemimpin yang dilihat memberi kesan negatif terhadap hubungan dua hala negara berkenaan dengan AS. Perkara sebegini kerap berlaku dalam kalangan negara-negara yang mempunyai kepentingan terhadap AS seperti sumber minyak mentah yang banyak. Maka tidak hairanlah Iraq mudah digulingkan oleh Amerika Syarikat tidak lama dahulu dengan alasan untuk menumbangkan sistem autokrasi pimpinan Saddam Hussein. Natijahnya, walau pun kini Presiden tersebut sudah bergelar 'arwah', kerajaan demokrasi yang dibina akhirnya menjadi boneka AS. Sudahlah bekalan minyak dikuasai oleh syarikat-syarikat gergasi di Amerika, rakyat Iraq pula terus berbunuh-bunuhan disebabkan perebutan kuasa dalam hal politik dan ekonomi antara puak Kurdish, Sunni dan Syiah. Pertubuhan Negara-negara Pengeksport Petroleum (OPEC) juga tidak banyak membantu dalam mengatasi masalah ini. Kewujudan ada kalanya seperti gajah putih tatkala berlaku kisah seperti ini.

Demokrasi yang menjadi propaganda AS jelas 'bermuka dua' terutama dalam isu piliharaya Palestin sekitar 2006. Masyarakat dunia dapat melihat betapa anehnya sikap barat apabila pilihan raya yang disifat sebahagian penganalisis politik antarabangsa "paling telus" namun dinafi oleh AS. Kemenangan Hamas pimpinan Ismail Haniyeh tidak diiktiraf oleh mereka. Walhal, mereka yang melobi seluruh dunia dengan frasa: "Demokrasi" ! Akibatnya, sehingga ke hari ini Fatah yang bersifat pro-AS terus berusaha menumbangkan kerajaan Hamas (dibantu AS) dengan cara mengenakan sekatan ekonomi dan cadangan pentadbiran negara Palestin secara kerajaan campuran sehingga membawa kepada pertemuan di hadapan Kaabah oleh kedua-dua pemimpin parti tersebut. Mana mungkin dalam sebuah kapal dapat dikemudi oleh dua nakhoda yang 'tidur sama bantal tapi mimpi lain-lain'. Justeru, dalam isu Mesir ini seandainya proksi Mubarak diganti dengan proses demokrasi, adakah pemimpin yang menaiki takhta kerajaan nanti sudah pasti tidak dibayangi oleh AS lagi? Anda jawab !

Sebenarnya, jika mahu disingkap banyak lagi perkara pokok berkaitan yang harus diteliti seperti isu Nuklear di Iran, isu peperangan saudara di Afganistan dan lain-lain. Namun, biarlah keadaan yang menentukan hala tuju negara berkenaan. Kita hanya mampu mendoakan sahaja. Seperti ungkapan oleh Tun Dr. Mahathir dalam satu ucaptama di salah satu sidang kemuncak suatu ketika dahulu pernah menyatakan bahawa dunia sedang dikuasai oleh Yahudi, terutamanya dalam bidang ekonomi. Justeru, selagi mereka 'mentadbir dunia' maka semakin hari masyarakatnya porak peranda. Di sinilah signifikannya umat Islam bermuafat dan bertekad mengakhiri penguasaan mereka.

Impian dan harapan penulis agar pengunduran Mubarak ini bakal merubah lanskap politik juga ekonomi bukan sahaja bagi penduduk Mesir malah untuk beberapa buah negara yang menjadi jiran kepada negara tersebut. Era kuku besi sudah berakhir, orde baharu pemerintahan bakal mengambil tempat. Pertikaian samada rakyat Mesir mampu memperoleh segala yang diimpikan sebelum ini atau tidak terpulang kepada saf kepimpinan baru yg akan menyusul selepas ini.

Kalau pun cakap-cakap bahawa bekas orang kuat Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA), Mohamed ElBaradei yang menggantikan Mubarak menjadi kenyataan, diharap isu-isu yang dibangkitkan oleh rakyat Mesir akan selesai atau sekurang-kurangnya dapat diminimakan. Janganlah ulangi sikap 'seperti lembu ditarik hidung' semasa mengetuai IAEA sebelum ini yang jelas bercanggah dengan beberapa artikel Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (BPP) diteruskan dalam pemerintahan negara Mesir selepas ini.

Jika berlaku lagi maknanya lirik akan sekali lagi bertemu jodoh dengan melodi yang sangat klise. Jelik! Jemu! Mual! untuk diperdengarkan kepada masyarakat seantero dunia.

Mari kita sama-sama doakan yang terbaik untuk rakyat Mesir khususnya Umat Islam di sana (dan juga di seluruh dunia termasuk Malaysia) agar kembali hidup dalam suasana aman, tenteram, dan dilindungi Allah. Selamatlah Mesir, bumi Musa & Harun.
Insya Allah.

Segala persepsi yang dipahatkan dalam entri kali ini hanya pendapat dan pendirian penulis semata-mata. Mungkin benar dan mungkin juga sebaliknya. Penulisan ini hanya bersandarkan kepada pembacaan, pemahaman dan pemerhatian penulis sahaja tanpa analisis kukuh yang dilakukan secara terperinci. Mohon maaf atas segala kesilapan.
Assalamualaikum w.t.b.






Tiada ulasan: