.

Ahad, 13 Februari 2011

HARI ISNIN ATAU HARI SELASA?

Hari ini 13 Februari 2011 Masehi bersamaan 10 Rabiul awwal 1432 Hijrah.

Ini bermakna dalam seminggu (minggu hadapan), akan berlaku "kembar" hari memperingati yang satunya jatuh pada hari Isnin (mengikut kalendar Masehi) manakala satu lagi jatuh pada hari Selasa (mengikut kalendar Hijrah).

Bagi kebanyakan pasangan kekasih, hari Isnin adalah hari yang dinanti-nanti walau hakikatnya mereka tahu hari berkenaan boleh disambut atau tidak. Semasa entri ini ditulis, penulis sempat meninjau banyak laman sesawang dan laman sosial yang menceritakan sejarah hari tersebut diwujudkan. Bahasa yang digunakan sangat mudah difahami dan mesej yang cuba disampaikan amat jelas lagi terang.

Benar!

Sebagai manusia kita digalakkan menyayangi dan mengasihi sesama sendiri. Namun, ramai dalam kalangan kekasih ini yang menyalah tafsir konsep sayang dan kasih seperti yang disyariatkan. Sebahagian mereka cuba memutar fakta kononnya sambutan tidak semestinya kepada kekasih semata-mata tetapi boleh jadi kepada ibu bapa, sahabat handai, saudara-mara, adik-beradik malahan kepada Pencipta. Persoalannya, adakah dalam setahun cuma ada sehari sahaja untuk kita raikan kesemua mereka? Mengapa antara banyak hari yang ada tetapi sambutan Hari Kekasih yang dipilih untuk tunjukkan rasa kasih mereka? Paling aneh, andai dikatakan untuk Pencipta maka hari lain pula bagaimana??

Kalau dikatakan cetek pengetahuan agama maka penulis pasti akan ramai di antara mereka yang lantang mengkritik. Tidak dapat menerima hakikat bahawa mereka sebenarnya begitu. Mungkin ada benarnya dalam dunia serba canggih ini ilmu boleh ditimba tanpa had. Mereka yang meraikan hari tersebut bukan tidak tahu sebab larangan dari segi syariat. Malahan tidak jahil tentang perkara-perkara yang menjurus ke arahnya. Namun, senadainya ada pegangan tanpa penghayatan maka tidak ubah seperti sepohon pokok yang terlalu rendang tanpa sebiji buah pun. Penghayatan terhadap ilmu yang dimiliki sangat penting kerana dengan penghayatan akan timbul rasa untuk beramal dengannya.

Justeru, walau atas dasar apa sekali pun alasan mereka hakikatnya hari memperingati kekasih adalah bertentangan dengan syariat dan wajar untuk dijauhi. Dalam kalam suci juga telah ditegaskan supaya kita tidak mengikuti perkara-perkata yang boleh menimbulkan maksiat. Kita juga disaran agar menuruti syariat itu sepenuhnya dan bukan hanya mengambil sebahagian perkara yang sesuai dengan kehendak nafsu seterusnya meninggalkan sebahagian yang lain.

Hari paling bermakna.

Sesungguhnya hari memperingati yang paling bermakna untuk diraikan adalah Maulidur Rasul. Mungkin ada yang bertanya, "mengapa perlu dirai sedangkan Baginda telah tiada?" Secara rasional kita perlu berfikir sejenak. Mengapa agaknya kita hanya menyambut hari kelahiran seseorang itu semasa hayatnya sahaja tetapi tidak pula pada mereka yang telah meninggal dunia? Sangat janggal dalam kehidupan andai kita sambut hari kelahiran pada mereka yang telah meninggalkan dunia.

Di sinilah keistimewaan sambutan Baginda Rasulullah s.a.w di mana Mulidur Rasul dirai secara bersama oleh umatnya. Tujuan untuk meraikan hari kelahiran Baginda Rasulullah adalah untuk memperingati jasa dan sumbangan Baginda yang tidak terhingga dalam sejarah tamadun manusia. Agama yang disampaikan bukan sahaja sekadar ajaran semata-mata malahan sebagai satu cara hidup dan corak kehidupan yang sebenar untuk diamalkan. Apabila menyambut hari kelahiran Baginda Rasulullah s.a.w maka seolah-olah kita menganggap Baginda 'masih hidup' dan masih bersama umat hari ini walau sebenarnya Baginda telah lama meninggalkan kita selama lebih 1400 tahun dahulu. Bahkan dengan semangat kenabian Rasulullah s.a.w semasa hayatnya jugalah maka Islam terus berkembang luas sehingga ke hari ini.

Dalam isu cara menyambutnya pula timbul pelbagai perbahasan daripada pelbagai ulama, umara, cendekiawan, dan sarjana. Ada yang berpendapat sambutannya merupakan suatu bidaah kerana tidak pernah dilakukan semasa zaman Rasulullah atau zaman para sahabat selepas kewafatan Baginda. Isu ini penulis hanya biarkan sahaja buat mereka yang lebih arif untuk mengeluarkan pandangan sesuai dengan ruang lingkup pengetahuan masing-masing kerana ilmu pengetahuan penulis amatlah terbatas untuk dikongsi bersama. Namun, pada hemat penulis sebagai umat yang menyanjungi kepimpinan Baginda Rasulullah s.a.w. cukuplah sekadar memperingati dengan cara berselawat, memohon syafaat di akhirat , mengamalkan sunnah Baginda serta melaksanakan ajaran yang terkandung dalam hadith-hadith yang telah diriwayatkan oleh para sahabat. Penghayatan pula perlulah tidak terhad kepada hari berkenaan sahaja tetapi dihidupkan setiap detik dan sepanjang masa.

Semoga kita sama-sama memahami serta mengerti akan larangan sambutan hari kekasih dan cuba memupuk penghayatan yang tinggi terhadap sambutan Maulidur Rasul ini. Tepuk dada tanya iman kita. Insya Allah.
Assalamualaikum w.t.b.




Justify Full

Tiada ulasan: