KUALA LUMPUR, 15 Dis (Bernama) -- Tun Dr Mahathir Mohamad menggesa  orang ramai cuba menyimpan emas sebagai simpanan mereka berbanding mata  wang kerana nilai emas lebih terjamin dan sukar untuk jatuh dengan nilai  besar.
Bekas Perdana Menteri itu berkata nilai mata wang tidak  terjamin kerana ia bergantung kepada pasaran tukaran mata wang dunia  yang sentiasa berubah-ubah.
Menurut beliau, ada kalanya nilai mata wang akan jatuh dengan teruk apabila berlaku sesuatu krisis kewangan di sesebuah negara.
"Mata  wang hanyalah sehelai kertas yang digunakan untuk mewakili nilai  tertentu tetapi bukan nilai sebenar namun emas boleh mewakili nilai  sebenar kerana ia sebuah logam berharga di seluruh dunia,"
"Simpanan  emas juga lebih terjamin jika ingin menjualnya kerana harganya sentiasa  meningkat dan ia boleh membantu orang ramai menghadapi inflasi,"  katanya kepada pemberita selepas melancarkan produk emas Geneva Malaysia  di sini malam ini.
Produk emas itu terdiri daripada jongkong  pelbagai berat dihasilkan oleh Persatuan Persahabatan Malaysia-Arab  Saudi (MSAF) dan Persatuan Usahawan Jongkong Emas Malaysia (GBEAM) yang  dikeluarkan untuk memenuhi keperluan syariah.
MSAF dan GBEAM  menyasarkan syarikat swasta dan orang ramai untuk mendapatkan produk  berkenaan sebagai urusan dalam pelbagai transaksi terutamanya jualan dan  belian.
Dr Mahathir berkata satu ketika dahulu, satu auns emas  bernilai RM109.79 tetapi kini satu auns emas bernilai kira-kira  RM4390.40.
Beliau berkata orang ramai boleh menyimpan emas dalam  bentuk barang kemas yang mudah didapati di seluruh negara dan ia mampu  untuk dimiliki.
( BERNAMA)
Mandala Bicara Bukan Sekadar Buku
6 hari yang lalu


Tiada ulasan:
Catat Ulasan