.

Rabu, 15 Disember 2010

DEBAT WAJAR DISERAP DALAM KURIKULUM

KUALA LUMPUR 13 Dis. - Pihak universiti disaran menjadikan debat sebagai sebahagian daripada kurikulum bagi melahirkan lebih ramai siswazah yang berfikiran kritis serta mahir berkomunikasi.

Timbalan Menterinya, Datuk Saifuddin Abdullah (gambar) berkata, beliau sangat berharap sekiranya debat dapat dijadikan sebagai satu budaya di institusi pengajian tinggi (IPT) kerana ia boleh merangsang cara berfikir seseorang.

Katanya, debat merupakan satu bentuk latihan intelektual yang terbaik dalam usaha melahirkan lebih ramai modal insan berkualiti dalam usaha negara menuju Wawasan 2020.

''Justeru, saya menyeru semua IPT tidak kira awam mahupun swasta supaya menjadikan debat sebagai subjek pembelajaran kerana yakin ia dapat membantu melahirkan generasi berfikiran kritis serta mahir berkomunikasi pada masa hadapan.

''Saya sedar bahawa terdapat sesetengah IPT yang telah menyerapkan debat ke dalam kurikulumnya tetapi ia sekadar di peringkat fakulti sahaja dan tidak menyeluruh kepada semua penuntut,'' katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis perasmian pertandingan akhir kejohanan Debat 1Malaysia Antara IPT 2010 di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) di Bangi dekat sini hari ini.

Hadir sama, Naib Canselor UKM, Tan Sri Dr. Sharifah Hapsah Syed Hasan Shahabudin.

Sebanyak 27 IPT terdiri daripada 20 awam dan tujuh swasta menyertai pertandingan yang julung-julung kali diadakan itu.

Universiti Teknologi Mara (UiTM) yang diwakili oleh Mastura Arbin, Mohamad Kharulnizam Bakeri dan Muhamad Hamizi Shaharudin dinobatkan sebagai johan pertandingan tersebut sekali gus membawa pulang hadiah wang tunai berjumlah RM5,000 beserta piala serta sijil.

Pada pertandingan itu juga, Mohamad Khairulnizam telah diumumkan sebagai pendebat terbaik dan membawa pulang wang tunai RM500, piala dan juga sijil.

(Utusan)

Tiada ulasan: