.

Sabtu, 14 Ogos 2010

HANYA RINGGIT MALAYSIA SAH - BNM

KUALA LUMPUR 13 Ogos – Bank Negara Malaysia (BNM) hari ini menegaskan, hanya mata wang ringgit sah diperakukan bagi pembayaran barangan dan perkhidmatan di negara ini.

Kenyataan itu menolak penggunaan dinar dan dirham yang diperkenalkan di Kelantan.

Bank pusat itu dalam kenyataannya berkata, di bawah undang-undang negara ini, BNM sahaja yang berhak untuk mengeluarkan mata wang di Malaysia.

Penjelasan itu dibuat oleh BNM berhubung pelancaran mata wang dinar dan dirham Kelantan yang digunakan sebagai alternatif kepada mata wang sedia ada.

Semalam, Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat berkata, mata wang itu boleh digunakan di kira-kira 1,000 buah kedai dan restoran sebagai transaksi perniagaan.

Malah, beliau menyifatkan penggunaan dinar dan dirham sebagai alternatif kepada Ringgit Malaysia tidak bertentangan dengan undang-undang dan ia dirangka mengikut peruntukan yang disediakan oleh BNM.

Bukan pengganti mata wang - Husam

KOTA BHARU 13 Ogos - Kerajaan Kelantan menjelaskan pengenalan mata wang syariah dinar emas serta dirham perak adalah sebahagian daripada sistem barter dan bukannya mata wang kedua untuk negeri ini.

Pengerusi Jawatankuasa Perancangan Ekonomi, Kewangan dan Kebajikan, Datuk Husam Musa berkata, banyak pihak keliru dengan pelancaran mata wang syariah tersebut sedangkan ia hanya pengenalan kepada sistem barter yang menggunakan logam emas dan perak.

Pada masa sama, beliau turut menyalahkan beberapa agensi berita kerana menyiarkan laporan tidak tepat mengenai dinar emas dan dirham perak sehingga menimbulkan kekeliruan.

"Saya tidak nampak kenapa perkara ini perlu diperbesar-besarkan selepas kerajaan Kelantan memperkenalkannya kerana ia telah digunakan sejak zaman Islam menguasai dunia lagi," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Bank Negara hari ini dalam kenyataannya menjelaskan bahawa Ringgit merupakan satu-satunya mata wang yang sah diperlakukan bagi pembayaran barangan dan perkhidmatan di Malaysia.

Di bawah perundangan negara, Bank Negara Malaysia sahaja yang mempunyai hak untuk mengeluarkan mata wang di negara ini.

Semalam, Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat melancarkan mata wang syariah dinar dan dirham yang akan digunakan dalam transaksi seharian termasuk pembayaran gaji kepada kakitangan awam.

Pada masa sama, kira-kira 1,000 peniaga di bandar ini bersetuju menerima dinar emas dan dirham perak dalam transaksi perniagaan mereka.

Dinar dan dirham itu dikeluarkan oleh anak syarikat Perbadanan Menteri Besar Kelantan (PMBK), Kelantan Golden Trade.

Husam berkata, pihaknya menyedari dinar dan dirham yang dikeluarkan di negeri ini tidak boleh menggantikan mata wang sedia ada.

Katanya, mata wang syariah tersebut hanya boleh digunakan apabila kedua-dua pihak bersetuju untuk menukar barangan atau perkhidmatan berdasarkan nilai semasa dinar dan dirham.

"Dahulu Orang Asli tidak menggunakan duit, mereka menggunakan hasil hutan seperti petai atau tongkat ali untuk ditukar dengan tembakau serta garam.

"Prinsipnya adalah sama di sini dan cara tersebut telah digunakan secara meluas sejak beribu tahun dahulu sebelum kejatuhan Kerajaan Turki Uthmaniah," katanya.

( UTUSAN)

Tiada ulasan: