.

Jumaat, 28 Mei 2010

DEBAT 111 JAM TANPA HENTI

Oleh Asmah Rusman
asmah@hmetro.com.my
2010/05/21

KUALA LUMPUR: Debat lima bahasa selama 111 jam tanpa henti yang dikendalikan Universiti Islam Antarabangsa (UIAM) bakal menjadi tarikan utama festival belia terbesar, Youth’10 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini.

Acara yang membuka peluang kepada peserta pelbagai kaum dan peringkat umur mempamerkan bakat itu dijalankan dalam Bahasa Malaysia, Inggeris, Mandarin, Tamil dan Arab, merupakan percubaan UIAM mencipta rekod dalam Malaysia Book Of Record (MBOR) sempena festival yang berlangsung pada 28 hingga 30 Mei ini.


Penasihat Kelab Debat Bahasa Malaysia UIAM, Mazlena Mohd Hussain berkata, pihaknya sudah memutuskan untuk menjalankan acara itu sehari lebih awal bagi memastikan ia mencapai rekod ditetapkan iaitu 111 jam tanpa henti.


“Kami akan bermula awal iaitu pada 27 Mei dan berakhir 1 Jun bagi memastikan masa diberikan dapat dipenuhi peserta. Ia juga membabitkan 222 kumpulan dengan penyertaan 666 peserta.


“Sesiapa saja boleh turut serta dalam acara itu, malah tiada pengecualian sama ada mereka mempunyai pengalaman atau pun tidak kerana ia bukan acara pertandingan,” katanya ketika ditemui di Balai Berita di sini, semalam.


Katanya, setakat ini, penyertaan daripada kumpulan pendebat bahasa Malaysia amat menggalakkan, namun pihaknya mengalu-alukan penyertaan daripada kumpulan pendebat bahasa lain dengan membuat pendaftaran di laman web www.mindamind.wordpress.com. Sementara itu, kira-kira 70,000 belia dari seluruh negara dijangka menyertai festival terbesar itu yang menyediakan lebih 100 aktiviti untuk disertai manakala 230 sekolah rendah dan menengah serta 59 universiti sudah mengesahkan penyertaan.


Pengurus Pembangunan Perniagaan Youth Asia Sdn Bhd, Rino Eusoff berkata, festival ini bakal menjanjikan landasan bagi generasi muda untuk terbabit berhubung, belajar dan mengembangkan potensi diri dengan cara menyeronokkan.


“Festival ini usaha belia untuk belia dan menjadi nukleus untuk pergerakan belia lebih besar. Ia dibahagikan kepada enam festival mini merangkumi sukan, tarian, muzik, penemuan, membeli-belah dan jenama belia dengan penganjuran pelbagai aktiviti, pertandingan dan persidangan untuk belia,” katanya.

(MyMetro)

Tiada ulasan: