.

Jumaat, 3 Julai 2009

SYILING PERINGATAN ULANG TAHUN KE-50 PARLIMEN DILANCAR


Tiga jenis syiling peringatan sempena sambutan Ulang Tahun Ke-50 Parlimen Malaysia dikeluarkan oleh Bank Negara Malaysia, hari ini.

Syiling itu dilancarkan oleh Yang Dipertua Dewan Negara Tan Sri Dr Abdul Hamid Pawanteh di bangunan Parlimen, di sini.

Tiga jenis syiling tersebut yang terdiri daripada Syiling Peringatan Emas (pruf), Perak (pruf) dan Emas Nordic masingmasing akan dijual dengan harga RM1,200, RM150 dan RM10 sekeping.

Syiling emas dengan nilai muka RM100 diperbuat daripada logam emas dengan ketulenan 999.9 dan berat setiap keping ialah 7.96 gram. Sebanyak 100 keping syiling sahaja ditempa.

Syiling perak dengan nilai muka RM10, diperbuat daripada perak Sterling dengan ketulenan 92.5, seberat 21.00 gram sekeping. Ia ditempa pada kuantiti sebanyak 300 keping sahaja.

Syiling emas Nordic pula bernilai muka RM1 dan sebanyak 10,000 keping ditempah.

Bahagian hadapan syiling itu memaparkan bangunan Parlimen dengan tahun "19592009" tertera di bawahnya. Pada sisi syiling tersebut, terdapat lambang anak bulan dengan perkataan "Ulang Tahun Ke-50 Parlimen Malaysia" tertera di dalamnya.

Pada bahagian atas kanan syiling itu pula tertera bintang pecah 14 yang melambangkan 14 negeri di Malaysia termasuk Wilayah Persekutuan.

Bahagian belakang syiling pula memaparkan jata negara Malaysia serta cokmar-cokmar Dewan Rakyat dan Dewan Negara.

Perkataan "Bank Negara Malaysia" dan nilai muka syiling masing-masing tertera pada bahagian atas dan bawahnya.

Syiling itu akan dijual mulai esok di ibu pejabat Bank Negara Malaysia dan cawangannya di Pulau Pinang, Johor Baharu, Kuala Terengganu, Kota Kinabalu dan Kuching.

Pada sidang media selepas itu, Abdul Hamid berkata pelancaran syiling peringatan itu merupakan salah satu daripada acara sambutan Ulang Tahun ke-50 Parlimen yang berlangsung sepanjang tahun ini.

"Acara kemuncak sambutan ini ialah jamuan malam bagi meraikan kira-kira 1,000 anggota Parlimen termasuk bekas anggotanya pada Disember depan. Sebuah filem dokumentari dan dua buah buku mengenai sejarah Parlimen akan turut diterbitkan tidak lama lagi," katanya.

(BERNAMA)


Tiada ulasan: