.

Jumaat, 3 Julai 2009

46 PENUNTUT UiTM PAHANG DISERANG HISTERIA

Seramai 46 pelajar perempuan Universiti Teknologi Mara (UiTM) Jengka, dekat Maran, yang sedang mengikuti minggu induksi pelajar baru di dewan utama universiti terbabit, tiba-tiba menjerit dan meracau diserang histeria, petang kelmarin.

Kejadian jam 5.45 petang itu dikatakan berpunca selepas seorang pelajar wanita berusia 18 tahun tiba-tiba pengsan lalu rebah ketika bersama lebih 1,000 pelajar baru yang berhimpun bagi mendengar taklimat di dewan terbabit.

Sejurus kemudian, puluhan pelajar wanita yang berada berdekatan dengan rakannya yang pengsan itu meracau dan menjerit sehingga menimbulkan suasana panik.

Seorang pelajar lelaki yang enggan dikenali berkata, kejadian berlaku dengan pantas dan semua pelajar baru dalam dewan itu terkejut apabila tiba-tiba melihat sekumpulan pelajar wanita berusia 18 hingga 20 tahun secara tiba-tiba menjerit seperti dirasuk sesuatu.

"Dalam keadaan cemas itu, saya dan beberapa pelajar lain serta pihak pengurusan UiTM cuba memberi bantuan kepada mangsa yang tidak sedarkan diri malah ada antara mereka yang mengadu ketakutan.

"Suasana panik itu menyebabkan semua pelajar baru dalam dewan berkenaan diarahkan keluar ke padang sebagai langkah keselamatan," katanya ketika dihubungi, di sini, semalam.

Sementara itu, Timbalan Pengarah Hal Ehwal Pelajar (HEP) UiTM berkenaan, Muhammad Mokhtar, ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu.

Beliau berkata, berikutan kejadian itu 32 daripada pelajar wanita berkenaan dirawat di pusat kesihatan universiti itu, manakala 14 pelajar lagi dihantar ke Hospital Jengka untuk rawatan susulan.

"Pihak hospital memaklumkan kejadian terbabit adalah perkara biasa berlaku ke atas seseorang jika terlalu penat, namun tiada apa perlu dibimbangkan malah kesihatan mereka tidak terjejas dan mereka dibenarkan pulang ke universiti selepas menerima rawatan," katanya.

(BERITA HARIAN)



Tiada ulasan: