.

Sabtu, 20 Jun 2009

PENDAPAT PELAJAR TERTAKLLUK PADA AUKU

Pelajar universiti diingatkan bahawa sebarang tingkah laku dan tindakan mereka dalam mengemukakan pandangan atau pendapat masih tertakluk kepada Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU).

Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, berkata pindaan terhadap AUKU masih menetapkan bahawa kebebasan bersuara mereka perlu mematuhi syarat terkandung dalam akta berkenaan.

“Pelajar bebas menyuarakan pandangan tetapi perlu ingat yang kebebasan itu masih tertakluk kepada peraturan ditetapkan apabila AUKU yang dipinda akhir tahun lalu dan diwarta awal tahun ini.

“Kita tetap memberi kebebasan kepada pelajar melahirkan pandangan mereka tetapi mestilah menerusi wakil mereka dalam sekretariat pelajar. Apa saja tindakan mereka perlu ada kesedaran kerana masih tertakluk kepada AUKU,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menyaksikan majlis menandatangani memorandum persefahaman (MoU) antara Kolej Universiti Binary (BUC) dengan Universiti Zambia (Unza) di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC).

Sebelum itu, Mohamed Khaled merasmikan majlis penutup Persidangan Menteri-Menteri Pendidikan Komanwel (CCEM) Ke-17 di tempat sama.

Beliau mengulas saranan pihak tertentu supaya selepas AUKU dipinda, institusi pengajian tinggi awam (IPTA) dan swasta (IPTS) perlu memberi sepenuhnya ruang kepada mahasiswa bersuara dan menyatakan pandangan tanpa terikat dengan agenda institusi berkenaan.

Mengenai konsep autonomi universiti, Mohamed Khaled berkata, kerajaan akan melaksanakannya secara berperingkat kerana ia membabitkan aspek fleksibiliti dan akauntabiliti.

“Kebebasan penuh kepada universiti menerusi konsep autonomi masih perlu dibincangkan kerana operasi IPTA masih melalui kerajaan. Kebebasan sebenar kepada kakitangan universiti masih perlu dibincangkan kerana ia akan menyentuh isu akauntabiliti,” katanya.

(BERITA HARIAN)



Tiada ulasan: