.

Sabtu, 20 Jun 2009

MEMAKSIMUMKAN KESAN PAKEJ RANSANGAN

Oleh SOBRI SUDIN
Felo Unit Ekonomi dan Politik, Yayasan Sumber Maklumat

Pakej rangsangan ekonomi pertama bernilai RM7 bilion, dan yang kedua bernilai RM60 bilion dilihat telah dilaksanakan sebaik mungkin. Impak projek bernilai tinggi yang ada kesan langsung ke atas rakyat seperti Program Penyenggaraan Awam (PIA) dan Projek Infrastruktur Asas dilihat diberi keutamaan dengan pelaksanaannya dipantau teliti oleh Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU), Jabatan Perdana Menteri. Usaha dan langkah praktikal ini cukup bermanfaat khususnya kepada segmen komuniti di kawasan luar bandar.

Tampak jelas, berasakan pengalaman negara menghadapi situasi kegawatan ekonomi yang berlaku dalam banyak fasa, misalnya era awal 1980-an, krisis kewangan 1997 dan kini kelembapan ekonomi global, pengurusan negara mampu bertindak secara cepat, pantas, fleksibel dengan penekanan kepada langkah dasar fiskal dan bukan fiskal.

Pimpinan negara tidaklah hanya pandai berceramah, memeras audien yang mendengar ceramah dengan mengutip dana wang jihad kononnya, diikuti menggunakan serta manipulasi ayat-ayat bertopengkan agama untuk memujuk rakyat.

Akan tetapi berusaha, berikhtiar, akhirnya berdoa dan bertawakal kepada Allah SWT sesuai dengan prinsip ajaran Islam, yang menggalakkan umatnya berusaha, menggunakan potensi akal, bukannya menyalahkan orang lain bagi sebarang kelemahan atau menjaja seribu satu macam alasan.

Walhal sebenarnya tidak berupaya mentadbir atau mengurus ekonomi rakyat seperti mana yang diterjemahkan oleh kerajaan pakatan pembangkang di beberapa buah negeri.

Dalam konteks pengurusan krisis ekonomi negara, juga didapati trend memperlihatkan sektor awam akan sentiasa diberi peranan besar, selain kerajaan sedaya upaya menambah peruntukan perbelanjaan sedia ada untuk mewujudkan kesan ekonomi gandaan.

Ini sering kali merujuk kepada konsep, lebih banyak kerajaan berbelanja, lebih banyak kitaran wang dalam pasaran akan bertukar tangan. Namun begitu, akibat adanya segelintir pegawai atau agensi pelaksana yang kurang berkesan dan kurang menghayati konsep amanah maka berlakulah ketirisan, kebocoran, sehingga peruntukan berkenaan tidak sampai secara terus kepada rakyat sebagai pengguna dan penerima.

Lantas itulah, pendekatan stereotaip misalnya memperbanyakkan projek kemudahan awam dengan tujuan memberi agihan kerja kepada kontraktor kelas F sebagai sebahagian daripada strategi menghadapi krisis ekonomi dirasakan perlu diubah kepada hala cara yang lebih betul dan tepat.

Ini berkait rapat dengan tiga keadaan utama. Pertama kesan kemelesetan ekonomi kali ini melibatkan kehilangan sumber pendapatan apabila ramai pekerja khususnya di sektor industri dibuang. Kesan penguncupan permintaan barangan eksport dari pasaran utama negara.

Kedua, kesan kemelesetan ekonomi kali ini selain pengaruh faktor luaran, turut dipengaruhi oleh faktor dalaman. Misalnya pengurangan perbelanjaan pengguna, akibat kenaikan kos harga barangan dan perkhidmatan, selain pengguna lebih berhati-hati dalam perbelanjaan harian mereka menyebabkan perniagaan kecil dan sederhana menerima tempiasnya.

Ketiga, kaitan dua angkubah tersebut turut menyebabkan timbulnya dua kesan gandaan lain yakni peningkatan kadar jenayah kecil, jenayah juvana dan kebejatan sosial yang pastinya akan menjejaskan usaha pembangunan aset sumber modal insan negara sebagai penerus ketamadunan negara di masa hadapan.

Apa yang paling dibimbangi, kesemua pengaruh faktor dan kesan ini akan menimbulkan satu persepsi bahawa "kerajaan yang memerintahlah bersalah dan harus bertanggungjawab di atas kesemua keadaan ini, selain jarum beracun mainan pembangkang akan terus dikumandangkan untuk meningkatkan tahap kebencian rakyat kepada pemerintah."

Walhal banyak keadaan yang berlaku adalah di luar kawalan kerajaan sendiri. Selain kerajaan sendiri tidaklah mempunyai lampu ajaib Aladdin yang boleh digosok sepanjang masa untuk memuaskan hati semua kehendak rakyat.

Justeru, bagi merungkai dilema dan persoalan ini diketengahkan beberapa pelan taktikal yang mujarab lagi boleh dilaksanakan secara cepat.

Pertamanya melencongkan apa jua usaha atau strategi pakej rangsangan ekonomi negara agar diubah pendekatannya. Ini boleh dijayakan misalnya melalui orientasi perbelanjaan dan bajet yang menekankan kepentingan bantuan disalurkan sampai terus ke tangan penerimanya tanpa melalui pihak kedua, ketiga ataupun dalam bentuk projek kemudahan asas.

Rakyat sebenarnya yang terbeban dengan kesan kemelesetan ekonomi kali ini lebih mengharapkan pemberian 'nilai wang tunai', diskaun harga, kupon tunai, subsidi dan elaun khas kecemasan.

Sektor swasta juga harus turut terlibat secara lebih aktif dalam strategi dan orientasi perbelanjaan dan bajet pengurusan keuntungan mereka.

Ini boleh dimulakan dengan diberi keutamaan kepada para pekerja mereka sendiri yang selama ini telah bekerja keras memajukan organisasi. Bukannya ibarat 'habis madu sepah dibuang'.

Pelbagai insentif seperti skim, baucar, kupon diskaun, tunai dan subsidi dapat dialirkan semula kepada pekerja mereka juga timbulnya sifat ihsan dan amanah tulen dalam menghargai jasa pekerja mereka selama ini.

Sektor swasta dan industri sudah sekian lama diberikan pelbagai insentif, galakan dalam pelbagai bentuk, geran pinjaman, modal teroka, insentif cukai dan bukan cukai oleh pihak kerajaan. Namun timbul persoalan bagaimana kesemua insentif dan galakkan berkenaan turut sama dapat dikongsi oleh para pekerja yang menyumbang tenaga kepada kejayaan organisasi mereka selama ini?

Apakah dikongsi atau hanya dinikmati secara kendiri oleh pengusaha industri? Impaknya kerajaan yang bersusah payah menyediakan pelbagai galakan dan skim subsidi kepada industri akhirnya disalahkan apabila industri berkenaan gagal menyediakan kos barangan dan perkhidmatan keluaran mereka pada kadar harga yang murah. Sebaliknya mahal atas alasan untuk menampung kos. Apakah mereka bercakap benar selama ini dengan menjadikan kerajaan yang banyak memberi subsidi kepada mereka sebagai kambing hitam?

Kerajaan dengan kebijaksanaan pengurusan ekonominya yang telah terbukti dari pengalaman lalu boleh juga mengatasi kelembapan ekonomi semasa dengan meminimumkan apa jua caj atau kos perkhidmatan sama ada yang disediakan secara langsung olehnya atau melalui regulasi semula ke atas perkhidmatan yang disediakan melalui konsep penswastaan.

Ini meliputi perkhidmatan pengangkutan, rangkaian sistem perhubungan, telekomunikasi, utiliti, pembentungan dan lain-lain.

Ini adalah kerana ekonomi yang dinamik khususnya dalam sosiobudaya rakyat Malaysia adalah persekitaran ekonomi kondusif yang mampu memperlihatkan kesannya secara segera, diterjemah dalam bentuk tindakan bukan sekadar pengumuman angka, dilihat dengan nyata aspek pelaksanaannya oleh rakyat, diagih dan tempias kemakmuran dan kesan gandaannya dinikmati secara merata bukan secara terpilih semata-mata.

Dalam konteks mengisi aspirasi rakyat yang mahu melihat kesan segera, agar bebanan, kos sara hidup, caj perkhidmatan dan pendapatan nilai wang benar mereka dapat dinikmati semaksimum mungkin maka dicadangkan beberapa langkah berikut:

a) Mewujudkan kembali dengan kadar segera waran pendahuluan bagi pelajar yang mendapat tawaran kemasukan ke IPTA, IPTS dan semua pusat pengajian tinggi dalam negara yang bakal bermula awal Julai nanti. Waran yang boleh ditunaikan di pejabat pos ini atau dikreditkan terus ke akaun mereka, melalui carian alamat dan nombor akaun mereka.

Langkah ini mampu mengurangkan tanggungan dan bebanan ibu bapa dan pelajar berkenaan bagi urusan persediaan kemasukan dan pendaftaran. Janganlah kerana kemiskinan, kurang kemampuan kewangan membantutkan hasrat rakyat untuk mendapatkan ilmu di menara gading.

Janganlah lagi kedengaran rungutan daripada Menteri bahawa biaya untuk kos pendidikan dan bantuan pinjaman pendidikan kian tinggi, kerana ini adalah pelaburan jangka masa panjang jika kita berhasrat mahu mempunyai aset modal insan yang berpendidikan dan berpengetahuan demi kemajuan ketamadunan.

b) Memberi kupon diskaun kepada isi rumah atau keluarga di kawasan bandar, bandar raya dan pinggir bandar yang pendapatan suami isteri RM3,000 ke bawah dan mempunyai tiga orang anak atau lebih. Kupon diskaun ini membolehkan isi rumah berkenaan membeli barangan keperluan asas seperti gula, beras, tepung, roti, minyak masak, dan bayaran perkhidmatan pada kadar harga asas.

Kupon diskaun ini juga membolehkan isi rumah berkenaan mendapatkan kos minimum bagi rawatan di hospital swasta, bagi tujuan menggunakan kemudahan pengangkutan awam dan perkhidmatan lainnya. Natijah positif daripada usaha ini, pendapatan wang benar yang diterima isi rumah dalam bentuk gaji bulanan akan bertambah dan mampu dimanfaatkan sebaik-baik mungkin misalnya untuk tabungan, selain perbelanjaan sara hidup mereka dengan sendirinya akan berkurang.

Pada akhirnya, sudah tentulah kesejahteraan institusi keluarga dapat dibentuk. Ini memandangkan institusi keluarga yang tidak dibebani atau dihantui oleh perbelanjaan sara hidup yang meningkat setiap bulan, dengan sendirinya dapat menghindarkan ketua isi rumah sebagai contoh terlibat dalam perlakuan rasuah.

c) Mempergiatkan dan mempercepatkan dengan kadar pantas pembinaan apartmen kos rendah, flat Projek Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT), lot dan ruang niaga, premis gerai bagi penduduk setinggan dan peneroka bandar, golongan miskin bandar, dengan mengguna pakai teknologi dan sistem binaan IBS.

Apartmen, flat PPRT tiga bilik ini boleh diupayakan peranannya oleh Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB) dan UDA Holdings yang kemudiannya boleh disewa beli kepada penduduk bandar miskin atau berpendapatan rendah. Sekali gus isu setinggan bandar, pencerobohan tanah kerajaan, kontroversi antara penduduk setinggan dan pemaju serta hasrat kerajaan untuk menjayakan satu keluarga satu rumah akan tercapai.

Dasar sebelumnya yang lebih berorientasikan pembinaan kondominium mewah dan sederhana atas hasrat dan strategi keuntungan komersial semata-mata haruslah dikurangkan. Tanah-tanah milik kerajaan sedia ada perlulah direncanakan strateginya ke arah ini.

Langkah ini boleh memperbetulkan strategi kependudukan yang dilihat tidak seimbang selama ini. Kesan kurangnya pembinaan apartmen kos rendah menyebabkan komposisi Melayu dalam bandar atau bandar raya kian terpinggir, dan kawasan tumpuan ini hanya dimonopoli oleh kaum etnik tertentu sahaja.

Dari aspek integrasi, usaha perpaduan dan pencapaian hasrat Satu Malaysia tentulah akan menghadapi dilema jika dasar kependudukan ini tidak segera dibetulkan.

Jika langkah-langkah praktikal ini boleh diupayakan segera, dijayakan secara tuntas lagi ikhlas, maka kesan maksimum daripada pakej rangsangan ekonomi mampu menjadi ramuan mujarab secara jangka pendek mahupun jangka panjang bagi membantu meringankan bebanan ditanggung rakyat. Selain itu memperlihatkan imej kerajaan yang bersungguh, praktikal dan teliti dalam memastikan apa jua agihan, perbelanjaan ekonomi negara dapat sampai terus kepada golongan sasar.



Tiada ulasan: