.

Rabu, 8 April 2009

MSAM 20o9 TAWAR KERJA KOSONG, LATIHAN GRADUAN

Permodalan Nasional Bhd. (PNB) buat pertama kali menawarkan program latihan pekerjaan kepada lebih 500 graduan menganggur dari pelbagai bidang sempena Minggu Saham Amanah Malaysia (MSAM) 2009.


Program itu ditawarkan selama enam bulan, iaitu tiga bulan latihan di bawah anak syarikat PNB dan tiga bulan lagi di bawah syarikat-syarikat pelaburan.

Selain itu, pada MSAM 2009, PNB turut menawarkan peluang pekerjaan kepada golongan profesional untuk menyertai tenaga kerja di bawah kumpulan PNB.

Presiden dan Ketua Eksekutif Kumpulannya, Tan Sri Hamad Kama Piah Che Othman berkata, melalui program latihan itu, graduan boleh mendapat pendedahan pekerjaan dalam bidang pelaburan di mana-mana anak syarikat PNB dan di syarikat-syarikat pelaburan.

Katanya, program itu merupakan salah satu langkah PNB mendidik masyarakat dalam bidang pelaburan.

"Kami mengkhusus kepada pembangunan modal insan pada MSAM 2009.

"Kita menjalani langkah pendidikan berterusan kepada masyarakat dan apabila graduan ini didedahkan dengan risiko, konsep perancangan dan strategi pekerjaan, mereka tidak ada lagi masalah untuk menceburi dalam bidang pelaburan,'' katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan majlis bersama rakan MSAM 2009 di sini hari ini.

MSAM 2009 akan berlangsung di Plaza Angsana, Johor Bahru, Johor.

Lebih 250,000 pengunjung dijangka menghadiri MSAM 2009 termasuk dari negara jiran, Singapura.

Hamad Kama Piah menambah, graduan yang terpilih untuk menyertai program berkenaan akan diberi elaun yang berpatutan oleh PNB.

Katanya, MSAM 2009 di Johor merupakan perintis kepada program latihan tersebut, namun ia tidak terhad kepada graduan menganggur dari Johor semata-mata, sebaliknya ia terbuka kepada semua orang.

"Bagi graduan dari negeri-negeri lain, mereka boleh membuat permohonan melalui PNB dan mana-mana anak syarikatnya di negeri masing-masing,'' katanya.

( UTUSAN)

Tiada ulasan: