.

Isnin, 6 April 2009

AYAT-AYAT AL QURAN: WAJARKAH AHLI POLITIK BUKAN ISLAM MEMBACA & MENTERJEMAH DENGAN PENJELASAN MENURUT HAWA NAFSU DAN PEMIKIRAN ???

Penulis semahunya ingin mengelak daripada berbicara soal politik tanah air. Namun, demi kepentingan Agama dan maruah Islam maka penulis tetap bersuara agar kekeliruan sekurang-kurangnya dapat dijernihkan semula.

Tidak kira perbezaan latar belakang politik kepartian ikutan tuan-tuan dan puan-puan di luar sana. Tinggalkan ketaksuban anda buat seketika, ketepikan fahaman dan pemikiran politik anda sejenak, muhasabah kembali kesucian dan martabat Agama yang diredhai Maha Esa.

Jawab persoalan asas ini:-

Berbekalkan fahaman ilmu Agama anda, wajarkah orang yang tidak pernah beriman (kafir) dengan kitab suci Kalam Tuhan iaitu Al Quran dibaca dengan bahasa asal (Bahasa Arab), diterjemah serta diberi penjelasan menurut akal dan hawa nafsu tanpa merujuk perkaitannya dengan mana-mana hadith sahih, sebab-sebab penuruhan ayat tersebut (asbabun nuzul) atau karya-karya masyhur yang diterima sebagai amalan ummah kita?

Penulis kesal dengan berita sedemikian. Bukan ingin memenangi mana-mana suara politik yang semakin menjadi-jadi mutakhir ini. Penulis tampil atas dasar inginkan penjelasan. Adakah situasi ahli politik bukan Islam berkenaan yang menggunakan ayat suci Al Quran untuk memenangi hati pengundi Islam ini BENAR caranya? Adakah perbuatan ini dituntut dalam Agama kita? Pernahkah anda mendapat perkhabaran daripada siapa-siapa alim ulama' yang menyatakan orang bukan Islam boleh menggunakan ayat-ayat Al Quran sebagai hujah kepada Orang Islam sendiri untuk menegakkan keadilan? Walhal beliau sendiri tidak beriman dengan makna serta maksud ayat tersebut? Andai penulis salah membicarakannya, mohon komentar anda.

Umum mengetahui bahawa Al Quran adalah MUKJIZAT terakhir daripada Tuhan Maha Kuasa yang diturunkan melalui Rasul-Nya khusus untuk panduan ummah Islam kita. Penulis cukup terguris dengan berita hari ini yang memaparkan seorang ahli politik berbangsa Cina dan beragama bukan Islam menggunakan kalimah dan kalam Allah sebagai senjata mereka demi politik dan kepentingan peribadi.

Kita perlu sedar, setiap huruf dalam kalam Allah ini memiliki 'khadam' nya yang tersendiri. Pembaca yang salah mentajwid, mentafsir hatta melafazkan kalimah-kalimah maka mereka akan dilaknat dan berdosa.

Ayat Al Quran adalah suci dan terhindar daripada segala kecacatan. Justeru, ia merupakan pusaka ummah yang kekal dijaga keselamatan serta kesahihannya hingga ke akhir zaman. Tindakan ahli politik tersebut yang jelas menyebut kalimah-kalimah ini dianggap melebarkan lagi jurang fahaman masyarakat kita khususnya antara orang Islam dan bukan Islam.

Kita juga perlu sedar bahawa setiap ayat-ayat yang diturunkan mempunyai 'asbabun nuzul' nya yang tersendiri. (sebab-sebab turun sesuatu ayat). Maka, setiap ayat perlu untuk dikaji melalui pelbagai makalah serta karya-karya agung ulama' dan umara' tentang kesesuaian ayat-ayat berkenaan untuk dijadikan hujah ketika berbicara soal agama. Oleh sebab inilah maka orang-orang Islam sendiri pun takut untuk mentafsir mengikut hawa nafsu serta pemikiran sendiri kerana dikhuatiri akan terpesong dek kedaifan akal dan kewarasan minda.

Sesungguhnya penulis benar-benar mengharapkan komentar anda secara rasional demi Islam. Adakah wajar ahli politik berkenaan menggunakan ayat-ayat suci kalimah daripada Al Quran secara bacaan berbahasa Arab dan diterjemahkan ke dalam bahasa melayu disertai dengan penjelasan untuk kepentingan parti pimpinan mereka?

WAJAR atau TIDAK WAJAR ??

Sekadar meluahkan keresahan yang semakin mencengkam fikiran umat Islam,
Fikir-fikirkan .. .

Justify Full


1 ulasan:

Zaharmizi berkata...

mmg sgt TAK WAJAR Al-Quran dijadikan bahan dalam politik..tambahan pulak dibaca oleh org kafir yg direjam..
Diaorg tak beriman dgn kitab suci itu..makanya, mana boleh sesuka hati nak menggunakannya..

Kerajaan perlu amik tindakan segera.