.

Khamis, 3 Jun 2010

MAMPUKAH PBB BERTINDAK?

Oleh MOHD. AYOP ABD. RAZID

Kekejaman dan kejahatan Zionis Israel terserlah lagi apabila pada 31 Mei lalu, pasukan komandonya melakukan serangan ke atas kapal Turki, 'Mavi Marmara' yang ketika itu dalam pelayaran misi kemanusiaan Lifeline for Gaza (LL4G) sehingga mengakibatkan 19 orang terbunuh dan puluhan lagi penumpang lain cedera terkena tembakan tentera laut negara Yahudi itu.

Serangan itu dilakukan di perairan antarabangsa Laut Mediterranean.

Kapal penumpang terbabit membawa para sukarelawan seramai 600 orang dari lebih 50 buah negara, termasuk aktivis kemanusiaan dari Malaysia dan Indonesia.

Selain membawa aktivis kemanusiaan, kapal terbabit turut membawa dua kapal kargo dan tiga lagi bot lain.

Yang jelas, pelayaran tersebut bukan misi ketenteraan tetapi ia adalah misi pelayaran damai (Freedom Flotilla) yang membawa barangan keperluan hidup harian untuk membantu penduduk Gaza yang berada dalam kepungan dan tekanan rejim Zionis Israel.

Serangan 'gila' Israel itu mempamerkan betapa kejam dan ganasnya rejim Zionis Israel yang sering menodai peraturan-peraturan antarabangsa sama ada di lautan, udara dan daratan.

Serangan yang dilakukan itu jelas tidak mempedulikan dan menghormati undang-undang antarabangsa dari segi hak asasi kemanusiaan, mahupun undang-undang maritim antarabangsa.

Undang-undang maritim antarabangsa menegaskan bahawa tiada sebuah negara pun berhak bertindak sewenang-wenangnya di perairan antarabangsa. Ia merupakan jenayah kejam tentera Israel terhadap misi kemanusiaan antarabangsa yang tidak boleh dimaafkan.

Ada laporan menyebut bahawa pasukan Israel itu berusaha meledakkan kapal-kapal yang membawa bantuan dan para aktivis kemanusiaan.

Tindakan mereka itu jelas tidak bertamadun dan tidak berperikemanusiaan. Israel seolah-olah menunjukkan dirinya kebal dari tindakan undang-undang antarabangsa. Pencabulan hak asasi manusia sangat jelas dilakukan oleh negara terkutuk itu.

Malangnya, sejak Palestin dirampas Zionis Israel, tidak banyak undang-undang antarabangsa digunakan oleh Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) untuk menghukum Israel. Malah, pada peringkat awal pencerobohan Israel itu, PBB atas desakan dan tekanan Amerika Syarikat (AS) dan sekutunya telah mengesahkan penjajahan al-Quds oleh Yahudi Zionis pada tahun 1948.

Dalam kes ini, manipulasi undang-undang antarabangsa dilakukan oleh negara-negara kuat untuk memenuhi agenda penjajahan mereka.

Satu lagi contoh dari sekian banyak kes jenayah perang Israel adalah serangan 21 hari Israel ke atas Gaza (hujung tahun 2008) yang mana kumpulan Hak Asasi Manusia, iaitu Amnesty International mengeluarkan laporan bahawa Israel secara terang-terangan telah menggunakan munisi fosforus putih ke atas kawasan yang padat dengan penduduk di Gaza secara rambang.

Menurut Amnesty International, pada 15 Januari 2009, tentera Israel telah menggunakan bahan tersebut di beberapa tempat, iaitu di kawasan UNWRA (UN Relief and Works Agency) dan juga ke atas hospital al-Quds di Gaza City.

Malah, serangan militari Israel ke atas hospital, stor bekalan makanan dan ubatan PBB, sekolah, masjid serta kemudahan awam adalah perlanggaran undang-undang antarabangsa dan Israel boleh didakwa telah melakukan jenayah perang.

Aksi ganas yang dilakukan Israel pada 31 Mei lalu merupakan satu lagi pelanggaran undang-undang antarabangsa serta Konvensyen Geneva yang menuntut PBB menilai dan mengambil tindakan terhadap kekejaman Israel itu.

Malaysia mengutuk sekeras-kerasnya serangan tentera Israel yang tidak berperikemanusiaan itu dan menggesa Majlis Keselamatan PBB mengadakan mesyuarat tergempar bagi membincangkan perkara tersebut.

Apa pun, peranan PBB sebagai benteng undang-undang antarabangsa perlu dipersoalkan sekiranya badan dunia itu gagal mengambil tindakan keras ke atas Israel.

Namun, kita sedar bahawa ia hanyalah sekadar harapan sahaja. Selagi AS dan sekutunya terus memberi perlindungan kepada rejim Israel, maka selagi itulah hakikat ketidakadilan badan dunia itu akan terus terserlah.

Malah, puluhan resolusi yang telah dicapai di peringkat antarabangsa juga gagal menghalang rejim Zionis Israel daripada terus bertindak kejam sewenang-wenangnya.

Sebenarnya, bagi dunia Islam kita memerlukan solidariti dari kalangan negara umat Islam. Hanya melalui perpaduan dan kata sepakat yang teguh negara-negara umat Islam dapat membendung kezaliman Israel ke atas umat Islam Palestin.

Pada dasarnya tidak susah untuk negara-negara umat Islam bersatu kerana kesatuan akidah yang kita miliki memudahkan kita untuk bersatu. Namun, ia seolah-olah menjadi kekangan apabila kiblat politik umat Islam berpecah belah. Ada di antara negara umat Islam itu sendiri sudah pun mengiktiraf negara Israel secara rasmi, sementara banyak politik negara umat Islam berkiblatkan AS yang merupakan sekutu kuat Israel.

(UTUSAN)

Tiada ulasan: