.

Khamis, 3 Jun 2010

MALAYSIA TIDAK AKAN BANKRAP KERANA SUBSIDI - TUN MAHATHIR

Bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad tidak bersetuju dengan pandangan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Idris Jala bahawa negara boleh bankrap jika diteruskan pemberian subsidi kepada rakyat.

Beliau berkata, kesan jangka panjang terhadap Malaysia jika subsidi diteruskan adalah akan menjadi negara ini miskin apabila banyak wang dikeluarkan untuk membantu rakyat manakala pendapatan pula berkurangan.

''Saya fikir untuk menyampaikan mesej kepada orang ramai, Idris telah membesar-besarkan perkara ini kerana bagi saya Malaysia tidak akan bankrap sebaliknya hanya akan menjadi miskin," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar bagi mengumumkan mengenai program meja bulat dan dialog awam anjuran Yayasan Kepimpinan Perdana dan The New Club of Paris pada pertengahan bulan ini di sini hari ini.

Idris baru-baru ini berkata, Malaysia mungkin bankrap dalam tempoh sembilan tahun lagi jika dasar pemberian subsidi masa kini tidak dimansuhkan.

Idris yang juga Ketua Pegawai Eksekutif Unit Pengurusan Prestasi dan Pelaksanaan (Pemandu) Jabatan Perdana Menteri berkata, ia boleh berlaku kerana hutang negara dijangka meningkat 100 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) menjelang tahun 2019, jika pemberian subsidi diteruskan.

Malaysia merupakan antara negara yang memberi subsidi tertinggi kepada rakyatnya iaitu berjumlah RM74 bilion pada 2009.

Dr. Mahtahir berkata, bagi memastikan Malaysia tidak menjadi miskin, kerajaan perlu mengurangkan pemberian subsidi kepada rakyat tetapi ia hendaklah dilakukan secara beransur-ansur dan bukannya mendadak.

Ditanya adakah prinsip yang terkandung dalam Dasar Ekonomi Baru (DEB) harus diteruskan dalam Model Baru Ekonomi (MBE), beliau berkata, kerajaan perlu membuat kajian terlebih dahulu sama ada dasar itu yang bertujuan memastikan tiada jurang perbezaan ekonomi antara kaum telah mencapai sasarannya.

''Antara petunjuk yang boleh dilihat adalah ketika krisis kewangan pada 1997 dan 1998, apabila penduduk Indonesia yang ditimpa kesusahan membakar kedai dan rumah kaum Cina di republik itu.

''Ini tidak berlaku di Malaysia. Orang Melayu di negara ini tidak bertindak sedemikian dan mungkin disebabkan DEB telah berjaya sedikit sebanyak menstruktur masyarakat sehingga menyebabkan tidak semua orang Melayu miskin dan tidak semua kaum Cina kaya," kata beliau.

Dalam perkembangan lain, Dr. Mahathir berkata, program meja bulat dan dialog awam pada 15 dan 16 Jun ini bertujuan membincangkan mengenai langkah-langkah bagi menjadikan Malaysia sebuah negara yang mempunyai ekonomi, politik dan sosial berasaskan pengetahuan.

''Segala hasil perbincangan ini akan diserahkan kepada kerajaan untuk tindakan lanjut termasuk kemungkinan dijadikan panduan ketika penggubalan MBE," ujarnya.

(UTUSAN)

Tiada ulasan: