.

Ahad, 18 April 2010

UiTM TAK PERNAH LANTIK EJEN PENGAMBILAN PELAJAR

SHAH ALAM: Satu sindiket dikesan cuba memperdaya lepasan Sijil Pelajaran Malaysia dengan menyamar sebagai ejen menguruskan kemasukan pelajar ke Universiti Teknologi Mara (UiTM) sedangkan universiti itu tidak pernah melantik ejen untuk berbuat demikian.

Naib Canselor UiTM, Profesor Datuk Dr Sahol Hamid Abu Bakar, berkata UiTM tidak perlu melantik ejen pengambilan pelajar kerana kemasukan dibuat menerusi permohonan terus melalui UiTM atau Unit Pusat Universiti (UPU).

Katanya, kegiatan itu dikesan selepas menerima e-mel daripada seorang mangsa yang mendakwa ditawarkan pengajian di UiTM oleh ejen dan memerlukannya membayar RM500 sebagai deposit.

“Seterusnya pada Selasa lalu, seorang pengadu menghubungi UiTM dan mendakwa ditawarkan melanjutkan pengajian di UiTM oleh ejen berkenaan yang berpusat di Seremban 2, Negeri Sembilan.

“Pengadu dan sembilan lagi individu mendaftar dengan ejen berkenaan dan bayaran antara RM500 dan RM2,000 perlu dibuat bagi memproses permohonan kemasukan itu,” katanya pada sidang media mendedahkan penipuan itu, di sini, semalam.

Sahol Hamid berkata, ejen yang didalangi seorang lelaki dan tiga wanita itu menghubungi mangsa melalui telefon dan khidmat pesanan ringkas (SMS), sebelum meminta mereka yang berasal dari Melaka dan Negeri Sembilan datang ke premis ejen berkenaan di Seremban 2.
Sehubungan itu katanya, UiTM membuat laporan polis di Balai Polis Seksyen 6, di sini, Rabu lalu.

Beliau berkata, UiTM menerima banyak panggilan telefon daripada orang ramai sejak 10 April lalu yang ingin mendapatkan pengesahan mengenai ejen yang mendakwa dilantik universiti itu bagi proses pengambilan pelajar.

Mengulas lanjut, beliau berkata ejen berkenaan melakukan pembohongan yang sangat jelas kerana kos pengajian di UiTM tidak mencecah RM500 berbanding bayaran yang perlu dibuat melalui ejen itu.

“Ejen ini cuba mengambil kesempatan kerana mereka tahu ramai berminat melanjutkan pengajian ke UiTM. Oleh itu kita minta supaya orang ramai tidak tertipu dan mendapatkan pengesahan daripada kami di talian 03-55443161,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Sahol Hamid berkata, UiTM menyambut baik hasrat kerajaan untuk membina kampus universiti itu di Serendah, dekat sini, kerana yakin ia mampu melonjakkan taraf ekonomi masyarakat setempat yang turut merasai kesan pembangunan berkenaan.

(BERITA HARIAN)

Tiada ulasan: