.

Sabtu, 17 April 2010

PENGAMBILAN GURU SEIMBANG


Mohd. Puad Zarkashi (tengah) bersama penerima sumbangan yang mewakili 12 buah sekolah sekitar Hulu Selangor di Batang Kali, semalam.


HULU SELANGOR 16 April - Kerajaan akan menyeimbangkan pengambilan guru pada tahun ini pada kadar yang sama iaitu 50 peratus untuk guru lelaki dan perempuan.

Timbalan Menteri Pelajaran, Dr. Mohd. Puad Zarkashi berkata, langkah itu diambil ekoran jumlah guru perempuan yang terlalu ramai ketika ini.

"Bagi mengimbangi jumlah guru wanita dan keperluan kepada guru lelaki, kerajaan pada tahun ini akan seimbangkan pengambilan guru mewakili kedua-dua jantina itu," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas majlis penyerahan sumbangan yang kesemuanya bernilai RM940,000 kepada 12 buah sekolah dalam Parlimen Hulu Selangor di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Puad berkata, keperluan untuk mempunyai guru lelaki adalah penting di sekolah terutamanya melibatkan aspek disiplin dan pembangunan sukan pelajar.

"Ia juga bagi memudahkan kerajaan untuk menempatkan guru-guru lelaki di kawasan pedalaman. Ini melibatkan soal keselamatan, lebih baik kita letakkan guru lelaki berbanding wanita untuk bekerja di pedalaman terutamanya di Sabah dan Sarawak," katanya.

Dalam pada itu, katanya, kerajaan pada tahun ini juga akan menetapkan peratusan penempatan guru iaitu 40 peratus di Semenanjung dan selebihnya di Sabah dan Sarawak.

Beliau berkata, langkah itu bagi menyelesaikan masalah yang kerap kali berlaku apabila kerajaan menempatkan guru-guru di kawasan pendalaman.

"Dengan langkah yang diperkenalkan ini, kerajaan akan menempatkan guru-guru dari Sabah dan Sarawak untuk mengajar di sekolah-sekolah kawasan pedalaman di sana. Ia juga bagi mengurangkan permohonan guru-guru untuk membuat pertukaran tempat mengajar.

"Tetapi, ini tidak bermakna, 40 peratus guru di Semenanjung itu tidak akan ditempatkan di Sabah dan Sarawak, kerajaan tetap akan berbuat demikian sekiranya keadaan memerlukan," katanya.

(Utusan Malaysia)


Tiada ulasan: