.

Ahad, 7 Mac 2010

PUSAT TAMADUN, MONUMEN TERTUA DI ASIA TENGGARA DITEMUI DI SUNGAI BATU

SUNGAI PETANI 6 Mac - Sekumpulan ahli arkeologi Universiti Sains Malaysia (USM) berjaya menemui sebuah pusat tamadun yang dilengkapi monumen dan batu bersurat berusia lebih 1,900 tahun di Sungai Batu, Merbok dekat sini baru-baru ini.
Justify Full
Misi penyelidikan yang diketuai oleh Pengarah Pusat Penyelidikan Arkeologi Global USM, Prof. Madya Dr. Mokhtar Saidin itu membuktikan adanya kehidupan sebuah komuniti manusia prasejarah yang serba lengkap dengan konsep sosioekonomi dan perdagangan.

Penyelidikan di kawasan seluas 3 kilometer persegi di sebuah ladang sawit di tepi Jalan Lencongan Merbok itu turut meletakkan ia sebagai pusat tamadun sejarah terawal di Asia Tenggara mengatasi Angkor Wat di Kemboja dan Borobodur, Indonesia.

Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr. Rais Yatim berkata, hasil penemuan itu amat menakjubkan kerana ia berjaya mengubah perspektif sejarah negara dan meletakkan Malaysia sebagai pusat wujudnya tamadun manusia tertua di Asia Tenggara setakat ini.

"Penemuan di kawasan Sungai Batu ini berbeza dengan artifak terdahulu.

"Sebelum ini pakar-pakar arkeologi hanya temui bangunan berciri-ciri candi purba.

''Namun, daripada kajian terbaru ia telah mendedahkan kepada kita bahawa terdapat kawasan tapak dengan batu-bata dan monumen yang berfungsi sebagai pusat penempatan, kilang besi dan dewan keramaian. Tarikh yang disahkan wujudnya kawasan ini ialah pada tahun 110 Masehi," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada lawatan kerja ke Tapak Penyelidikan Arkeologi Sungai Batu dekat sini hari ini.

Hadir bersama ialah Naib Canselor USM, Prof. Tan Sri Dzulkifli Abdul Razak; Pesuruhjaya Jabatan Warisan Negara, Profesor Emeritus Datuk Siti Zuraina Abdul Majid; Ketua UMNO Bahagian Merbok, Datuk Tajul Urus Md. Zain dan Ahli Parlimen Merbok, Datuk Rashid Din.

Menurut Rais, selain monumen, pakar arkeologi turut menemui satu tulisan berbahasa Sanskrit Palawa pada satu batu bersurat yang berkisar tentang puisi, mantera serta kehidupan masyarakat purba.

"Penemuan monumen dan kawasan purba ini dianggap lengkap dengan adanya tulisan yang memaparkan kisah serta kepercayaan masyarakat lampau," jelasnya.

Katanya, ekoran penemuan terbaru itu, beliau akan membentangkan laporan lengkap kepada Kabinet dalam tempoh terdekat untuk mewartakan kawasan terbabit sebagai Taman Sejarah Negara.

(MINGGUAN MALAYSIA)

Tiada ulasan: