.

Ahad, 7 Mac 2010

ENAM KAMPUS BARU UiTM DIBINA TAHUN INI


Pembinaan enam buah kampus baru Universiti Teknologi Mara (UiTM) di enam lokasi akan dibuat menerusi kaedah inisiatif pembiayaan swasta bagi memenuhi sasaran penempatan 200,000 pelajar.

Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, enam lokasi itu ialah di Pasir Gudang, Johor, Jasin di Melaka, Seremban 3, Samarahan di Sarawak, Puncak Alam di Selangor dan Tapah, Perak.

"Setiap satu kampus itu membabitkan kos sebanyak RM300 juta dan mampu menempatkan 5,000 pelajar. Kesemua projek itu dijangka dapat beroperasi dalam tempoh setahun setengah," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Terdahulu, Mohamed Khaled menyaksikan majlis menandatangani perjanjian Konsesi Asrama Secara Penswastaan antara Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) dengan Pengurusan Konsesi Asrama Sdn Bhd (Peka).

UTeM diwakili Naib Canselornya, Datuk Dr Ahmad Yusoff Hassan dan Pengarah Pengurusan Konsesi Asrama Sdn Bhd, Nazli Khir Johari. Menerusi perjanjian itu, sembilan blok bangunan asrama lima tingkat yang boleh memuatkan 3,060 pelajar akan dibina di tanah seluas 28 hektar di Durian Tunggal, Melaka, yang dijangka siap dalam tempoh 24 bulan.

Selain itu terdapat dua arked pelajar, lapan unit kediaman untuk felo asrama serta dua unit kediaman pengetua asrama melibatkan jumlah keseluruhan kos sebanyak RM73 juta dengan setiap pelajar akan dikenakan caj sewaan sebanyak RM1,579.50 setahun.

Dengan pembinaan projek itu menjadikan UTeM universiti kedua membina asrama menerusi kaedah itu selepas Universiti Perguruan Sultan Idris.

(BERNAMA)


Tiada ulasan: