.

Isnin, 22 Mac 2010

ILTIZAM MODEL EKONOMI BARU

Oleh REEZAL MERICAN NAINA MERICAN

Kerajaan dijangka mengumumkan 'Model Ekonomi Baru' tidak beberapa lama lagi. Model Ekonomi Baru sudah sewajarnya berjalan seiring dengan segala agenda besar lain yang sudah pun dimulakan awal seperti niat dasar 1Malaysia, Bidang Keberhasilan Utama (NKRA) atau Indeks Petunjuk Prestasi (KPI), Pelan Halatuju Transformasi Kerajaan (GTP) yang sedang dalam peringkat pelaksanaan pada ketika ini.

Mahu tidak mahu, Model Ekonomi Baru inilah yang bakal menjadi wadah pentadbiran dan pencapaian kerajaan sedia ada.

Dalam suasana persaingan global yang ketat, tidak ada negara yang mampu bersaing menggunakan model ekonomi lama yang tidak lagi berkesan. Proses transformasi tidak boleh berlaku dengan perlahan. Kalau perlu melompat, kita kena melompat. Yang pasti, kita tidaklah terlalu jauh ke belakang - malahan dalam segmen ekonomi tertentu, mungkin sedikit ke hadapan berbanding negara jiran yang lain.

Namun, di mana segmen ekonomi yang lemah mesti diberikan pengukuhan. Khususnya, di kalangan sektor yang kita mempunyai niche dan kekuatan sendiri.

Yang penting dan utama, Model Ekonomi Baru mesti mempunyai niat yang bersifat 'dualistik'. Mengukuh persaingan Malaysia di peringkat antarabangsa dan dalam masa yang sama melakukan pengukuhan kesan sosio-ekonomi kepada rakyat. Ini mesti dikaji dan diperhati secara menyeluruh.

Jangan kita terlalu melihat kepada keperluan luaran model ekonomi; sedang apa yang ada di halaman sendiri tidak mahu diperkemaskan. Ini semua, sudah pasti akan diperhalusi secara bersungguh-sungguh oleh kerajaan. Untuk itu berlaku, ia perlu mengambil masa yang lebih panjang untuk dibentangkan kepada rakyat.

Inilah jua yang pernah dilakukan sewaktu Republik Rakyat China, pada suatu ketika ingin menyusun strategi ekonomi baru. Walaupun mempunyai model ekonomi yang mampu mencatatkan pertumbuhan sebanyak 10 peratus selama 30 tahun; China juga perlu melihat keperluan 'model baru' kepada ekonomi yang ada. Ini dinyatakan oleh Joseph Stiglitz, di dalam artikelnya 'China's New Economic Model'. Kekuatan China perlu dilihat semula dalam kerangka ekonomi global yang kian mencengkam.

Iltizam dan niat Model Ekonomi Baru - mestilah menjurus kepada menyusun kesiagaan ekonomi yang bersifat menyeluruh. Mapan dan tahan lasak dengan dugaan keterbukaan ekonomi. Stiglitz mengingatkan bagaimana China perlu melihat semula segala macam perkaitan 'sosio-ekonomi' kepada sebuah keputusan dasar yang bakal diambil. Ini termasuklah menilai semula keperluan penjagaan kesihatan, pendidikan dan dana persaraan. Semua ini mesti dilihat secara kolektif kepada usaha merencana ekonomi baru.

Dalam pada itu, pesan Stiglitz lagi, China mesti mampu memperkukuh institusi pendidikan tinggi agar mampu menawarkan kumpulan graduan yang mampu melakukan transformasi ekonomi berasaskan inovasi. Inilah juga yang wajar negara kita kaji dan laksanakan.

Maknanya, Model Ekonomi Baru tidak boleh bersifat sehala dan membicarakan soal 'ekonomikal' semata-mata. Ruang sosiopolitik juga mesti dibangkit sama. Perkaitan antara keputusan ekonomi dan kesan 'sosial' yang berkait dengannya juga mesti dinilai. Kaedah nilaian ini hanya mampu dilakukan dengan ruang yang cukup diberikan kepada rakyat untuk menyampaikan pandangan dan maklum balas.

Majlis Perundingan Melayu (MPM) yang mewakili gabungan lebih 70 NGOs sudah pun membayangkan bagaimana Model Ekonomi Baru mestilah mengambil kira pencapaian Dasar Ekonomi Baru (DEB) dan Artikel 153, Perlembagaan Negara. Kenyataan ini tidak harus disambut di dalam ruang lingkup yang terlalu negatif.

Sebagai sebuah 'majlis' yang menjaga kepentingan kaum Bumiputera di negara ini - saranan ini adalah suatu saranan biasa. Kalau Dong Zhong biasa dengan saranan dan memorandum, demikian juga dengan Suqiu - di mana salahnya terhadap apa yang dituntut oleh MPM?

Kalau Suqiu pernah menyusun hampir 83 tuntutan, di bawah 17 perkara yang menjurus kepada kepentingan bangsa; apa yang dikemukakan oleh MPM adalah menggunakan model dan kaedah sama. Soal sama ada menjadi 'mimpi' seperti yang dinyatakan seorang wartawan Sin Chew Jit Poh adalah perkara yang tidak boleh diterima. Kemerdekaan Negara bertuah ini juga bermula dengan 'mimpi' kita untuk mentadbir negara kita sendiri. Maka, mimpi itu tidak menjadi satu perkara yang terlalu salah.

Ada juga yang mengatakan, kehadiran MPM akan hanya membawa niat 1Malaysia jauh ke belakang. Penulis tidak fikir begitu. Malahan, kehadiran MPM akan memberikan pandangan balas yang adil kepada apa sahaja cita kerajaan yang bakal dilaksanakan. Ini semua timbul, apabila niat 1Malaysia disalah erti dan dirungkaitafsirkan secara sendirian dan tidak melihat kepada realiti Perlembagaan.

1Malaysia adalah keperluan kita menerima realiti sejarah dan dinamisme bangsa Malaysia. Namun, ia tidak menolak usaha kita mewujudkan persefahaman dalam erti kata yang sebenar.

Namun begitu, dalam membicarakan kesediaan kita sebagai sebuah negara berhadapan dengan Model Ekonomi Baru sensitiviti perkauman mestilah menjadi angkubah yang mungkin kedua penting. Yang lebih utama, sebagai sebuah negara - apakah kita mampu hidup dan survive' di dalam lautan persaingan yang ada ini.

Kita jangan lupa, Melayu atau Cinakah kita, India atau Kadazankah kita, kalau Malaysia gagal sebagai sebuah negara mencipta kemakmuran baru - ia tidak akan menguntungkan sesiapa pun jua. Jangan kita anggap, negara mana sekalipun akan sukses - kerana yang nyata, ada negara yang gagal dan mula melutut dengan 'simpati' orang lain.

Sewaktu melaksanakan amanah sebagai Pengerusi Biro Ekonomi Pemuda UMNO, di dalam pertemuan dengan rakan-rakan komponen parti; penulis selalu mengingatkan bahawa kita tidak boleh terarah kepada soal pengagihan semata-mata. Siapa dapat apa, di mana dan bagaimana - itu adalah soal yang terlalu asas. Yang lebih penting, apa jalan yang mampu kita ambil dalam membawa Malaysia ke ekonomi masa hadapan. Kita kena cari jalan untuk menzahirkan kemakmuran; dan kemudiannya nanti barulah kita membicarakan soal pengagihan.

Kerajaan dan pimpinan mesti diberikan ruang masa yang cukup untuk meneliti banyak angkubah kepada penyediaan sebuah 'manhaj' ekonomi yang tepat dan betul. Jangan kita percepatkan sesuatu yang belum dikaji dan diteliti secara menyeluruh. Yang lebih penting, adalah meneliti kesannya kepada 'masyarakat dan rakyat' yang terbanyak.

Model ekonomi tidak boleh bersifat stagnant dan tidak sesuai dengan perkembangan semasa.

Model Ekonomi Baru menuntut 'konsensus nasional' - dan itulah yang perlu kita usahakan. Justeru, pandangan dan 'jelmaan' Penasihat Ekonomi kononnya, yang selama ini berkiblatkan Washington tidak diperlukan. Yang lebih perlu, adalah iltizam, niat dan keyakinan kerajaan dan rakyat seluruhnya; bahawa Model Ekonomi Baru adalah jalan ke hadapan yang perlu kita sama-sama ambil dan laksana.

(UTUSAN)

Tiada ulasan: