.

Isnin, 22 Mac 2010

GADIS MALAYSIA JAHIL ISU HAMIL, DARA

Oleh DIYANA ROSE KAMALLUDEEN

Hampir 100 peratus gadis di rantau ini termasuk di Malaysia tidak tahu membezakan antara mitos dan fakta berhubung biologi asas membabitkan tubuh mereka sendiri.

Kajian Kotex BodyLife IQ di Singapura, Filipina, Vietnam, Indonesia dan India serta Malaysia mendapati 97 peratus gadis tidak tahu berapa lubang yang ada pada wanita dan sama ada kencing atau haid datang dari saluran sama.

Mengikut kajian kuantitatif melibatkan 1,800 wanita berusia 16 hingga 24 tahun itu, Malaysia menduduki tangga tercorot dalam memahami isu kehamilan dan kedaraan.

Majoriti 60 peratus gadis percaya menyentuh payu dara akan menjadikannya semakin besar, 55 peratus lagi yakin memakai coli dengan kerap boleh mengakibatkan kanser payu dara manakala 21 peratus percaya makan berlebihan mempercepatkan kedatangan haid.

Separuh daripada responden kajian dengan 56 peratus gadis dan wanita diterapkan dengan idea bahawa mereka tidak akan hamil jika melakukan hubungan seks sewaktu datang haid.

Pengarah Urusan Kimberly-Clark (Malaysia/Singapura), Nathan Kandapper berkata, kajian itu membabitkan sekolah selain kalangan wanita berpendidikan, bercita-cita tinggi, berpersonaliti menarik dan aktif secara sosial.

"Kami merasakan perlu untuk membawa permasalahan ini ke tengah dan memperkenalkan penyelesaian menerusi kempen I Know.

"Kata kunci di sini adalah 'pendidikan' dan menggalakkan mereka bertanya soalan, mendapatkan maklumat agar dapat membuat keputusan lebih baik di masa depan," katanya.

Kotex mengadakan kajian menyeluruh BodyLife IQ bagi mengukur pemahaman wanita muda di rantau ini mengenai diri dan tubuh mereka serta kehidupan secara umum.

Ia merupakan sebahagian kempen I Know yang bertujuan mendidik, memperbetulkan mitos dan menghapuskan kongkongan perasaan malu.

Pada majlis pelancarannya di Bangsar, Kuala Lumpur baru-baru ini, berlangsung Forum BodyLife IQ 2010 melibatkan panel penasihat pakar.

Antaranya, Pengurus Pemasaran Kimberly-Clark Malaysia, Haniza Tahir; aktivis sosial Datin Paduka Marina Mahathir; pakar psikologi, Dr. Hera Lukman; selebriti dan penceramah, Azah Yazmin dan Mila Jirin (Akademi Fantasia 5).

Sementara itu, Hera berkata, golongan dewasa seperti ibu bapa dan penjaga yang menerapkan dalam fikiran anak-anak bahawa perkara berkaitan seks adalah subjek larangan.

Sikap itu bapa yang negatif kata Hera, menyekat laluan komunikasi dan mewujudkan kejanggalan tatkala menyentuh persoalan berkaitan dara, cinta, seks dan sebagainya.

Hasilnya adalah generasi remaja yang naif tentang imej diri, menjaga keperawanan dan maruah.

Menurut Azah pula, apa yang golongan dewasa tidak tahu adalah anak-anak mempunyai banyak persoalan tentang seks malah tidak kurang di antara mereka terjerumus dalam ketagihan seks.

"Apabila mereka dihantui perasaan ingin tahu, banyak perkara boleh jadi. Ada yang kata mereka dapat tahu tentang alat kelamin dan seks daripada budak lelaki.

"Ini menjadi 'si buta memimpin si buta' apabila kedua-duanya tidak faham apatah lagi tentang kehamilan dan jangkitan penyakit seks (STD)," tegasnya.

( UTUSAN)

Tiada ulasan: