.

Jumaat, 8 Januari 2010

PENGALAMAN 5 TAHUN SYARAT MENJADI PENSYARAH UiTM

SHAH ALAM: Bakal pensyarah di Universiti Teknologi Mara (UiTM) perlu memiliki pengalaman sekurang-kurangnya lima tahun dalam industri sebelum diterima sebagai tenaga pengajar di institusi pengajian tinggi itu.

Naib Canselor UiTM, Prof Datuk Dr Sahol Hamid, berkata syarat baru bagi pelantikan akan datang itu adalah antara usaha UiTM untuk melahirkan tenaga pengajar profesional selaras perkembangan dan keperluan industri negara masa kini.

Katanya, syarat berkenaan sudah dimaklumkan kepada semua fakulti dan bahagian pengambilan tenaga pengajar universiti itu untuk tindakan segera.

"Pengalaman industri yang dimiliki pensyarah akan membolehkan mereka memberi gambaran sebenar serta berkongsi pengalaman bersama pelajar mengenai realiti dunia kerjaya yang bakal ditempuhi.

"Kita tidak nafikan taraf pendidikan itu penting, tetapi kadangkala pengalaman 30 tahun dalam sesuatu bidang itu adalah lebih baik daripada memiliki ijazah kedoktoran (PhD)," katanya selepas merasmikan Program Kemahiran Insaniah UiTM dan melancarkan Projek 1Malaysia Peringkat UiTM, di sini, semalam.

Mengenai Program Kemahiran Insaniah UiTM, beliau berkata, pelajar pada peringkat diploma dan ijazah pertama diwajibkan mengikuti program itu yang mana mereka akan dinilai dalam beberapa aspek membabitkan kemahiran khusus sepanjang pengajian mereka.

"Semua pihak di UiTM termasuk pensyarah dan kakitangan juga perlu memberi kerjasama dalam menjayakan program itu kerana ia turut diambil kira dalam penilaian prestasi tahunan dan kenaikan pangkat," katanya.

Sahol berkata, bermula tahun ini, pelaksanaan penilaian kemahiran insaniah di UiTM dikuatkuasakan secara menyeluruh melalui penerbitan cetakan pertama Manual Pelaksanaan Kemahiran Insaniah UiTM.

Beliau berkata, cadangan mengadakan pertandingan Projek 1Malaysia peringkat UiTM pula bagi meningkatkan pemahaman pelajar mengenai konsep keseimbangan dalam kehidupan bermasyarakat majmuk di Malaysia.

Katanya, UiTM menyambut baik usaha sama badan korporat seperti Media Prima Berhad untuk projek itu, dengan sumbangan bernilai RM200,000 dan persetujuan menjadi penaja serta penyiar utama pertandingan berkenaan.

(BERITA HARIAN)

1 ulasan:

nisa berkata...

salam, tumpang lalu n nak beri respon...terima kasih.

saya teramat bersetuju dengan ketetapan baru ini bg mengelak terjadinya fenomena "cakap pandai, buat kerja tak tahu" di kalangan pensyarah2 muda.terutamanya bidang teknikal dan professional. ini juga dapat mengelakkan book worm sahaja yg berpeluang menjadi pensyarah disbbkn kecerdikan otak semata-mata menghafal kandungan buku...
terima kasih skali lagi.