.

Sabtu, 9 Januari 2010

MALAYSIA, SINGAPURA ULANGI KOMITMEN PATUHI KEPUTUSAN ICJ

KUALA LUMPUR 8 Jan. - Malaysia dan Singapura mengulangi komitmen masing-masing untuk mematuhi keputusan Mahkamah Keadilan Antarabangsa berkaitan Batu Puteh, Batuan Tengah dan Tubiran Selatan.

Kedua-dua negara juga bersetuju melaksanakan sepenuhnya keputusan mahkamah itu dengan meneruskan perbincangan sebagai susulan kepada mesyuarat pusingan kedua Jawatankuasa Teknikal Bersama Malaysia-Singapura (MSJTC) yang berlangsung pada 20 Ogos lalu.

Perkara itu dinyatakan dalam satu kenyataan bersama yang dikeluarkan oleh Kementerian Luar Malaysia dan Kementerian Luar Singapura di sini hari ini.

Menurut kenyataan itu, kedua-dua negara menegaskan komitmen masing-masing berhubung perkara berkenaan semasa pegawai kanan Malaysia-Singapura bermesyuarat di Singapura pada 5 Januari lalu bagi membincangkan lebih lanjut pelaksanaan keputusan ICJ berkaitan tiga struktur marin itu.

Pada pertemuan tersebut, delegasi Malaysia diketuai oleh Ketua Setiausaha Kementerian Luar, Tan Sri Rastam Mohd. Isa manakala delegasi Singapura diketuai Setiausaha Tetap Kementerian Luar, Peter Ho.

Kenyataan itu turut menyebut, MSJTC telah mengkaji tugas Jawatankuasa Kecil mengenai Kerja Ukur Bersama.

Hasilnya, MSJTC bersetuju agar jawatankuasa itu mengadakan perbincangan pada minggu berikutnya bagi memuktamadkan persiapan teknikal berkaitan kajian hidrografik yang dijalankan secara bersama oleh kedua-dua negara.

Mesyuarat itu juga meluluskan penubuhan Jawatankuasa Kecil mengenai Pengurusan Maritim, Ruang Udara dan Perikanan yang bermesyuarat pada hari yang sama.

Kenyataan itu menyebut, kedua-dua pihak amat berpuas hati dengan kemajuan yang dicapai oleh Jawatankuasa Teknikal Bersama serta bersetuju agar mesyuarat berikutnya diadakan di Putrajaya dalam tempoh tidak lebih dua bulan lagi.

Sebelum ini, Singapura mencetuskan kekecohan apabila mengumumkan akan menuntut wilayah laut dan zon ekonomi eksklusif (EEZ) di sekitar Batu Puteh.

Menteri Negara Kanan republik itu, Balaji Sadasivan berkata, Singapura memiliki sempadan wilayah laut yang mengunjur hingga 12 batu nautika dan wilayah EEZ mengikut peruntukan Konvensyen Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu mengenai Undang-undang Laut (UNCLOS) 10 Dis. 1982.

(Utusan Malaysia)

Tiada ulasan: