|
TAMPIN: Kepala Ismail Awang yang dipenggal dalam pembunuhan ngeri empat beranak di Kampung Batang Rokan, Gemencheh, Selasa lalu, selamat dikebumikan di kuburnya di tanah perkuburan kampung itu, petang semalam.
Sebaik tiba kira-kira 1.30 petang, kepalanya disatukan semula dengan tubuhnya yang dikebumikan Rabu lalu.
Isteri mangsa, Zahara Atan, 59, bersyukur kerana kepala suaminya berjaya ditemui semula dan dikebumikan semula bersama tubuhnya.
"Saya dan ahli keluarga mengucapkan terima kasih kepada polis yang bertindak pantas bukan saja menyelesaikan kes itu dengan cepat, malah menemui kepala suami saya yang hilang.
"Begitu juga liputan media massa yang membolehkan suspek ditahan serta penduduk kampung yang banyak membantu dan orang ramai yang bersimpati," katanya.
Dalam kejadian itu, Ismail, 76, ditemui mati dengan kepalanya dipenggal dan dilarikan dari lokasi pembunuhan, manakala anak perempuannya, Siti Khadijah Ismail, 22, ditemui mati dengan pisau masih tercacak pada dadanya.
Bapa mentuanya yang juga bekas imam masjid Kampung Batang Rokan, Atan Daud, 87, pula mati dengan tangan kirinya putus, manakala isterinya, Sufiah Katas, 80, putus tangan kanan.
Bagaimanapun, penahanan suspek di Stesen LRT Masjid Jamek, Kuala Lumpur sehari selepas kejadian berjaya membawa kepada penemuan kepala Ismail yang ditanam di sebuah tanah perkuburan di Seksyen 21, Shah Alam, Selangor.
Suspek pula ditahan reman tujuh hari untuk membantu siasatan berhubung kejadian itu.
Anak mangsa, Jefri Ismail, 25, yang menerima kepala ayahnya di HTJS berkata beliau reda dengan apa apa yang berlaku dan menganggap kejadian itu sebagai suratan takdir.
(Berita Harian)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan