.

Isnin, 4 Januari 2010

ISU KESESAKAN KELAS - PENYEDIAAN KABIN DAN PENYEDIAAN SEKOLAH BARU

Kerajaan sentiasa mengambil langkah sewajarnya termasuk menyediakan kabin sebagai bilik darjah di sekolah-sekolah yang menghadapi masalah kesesakan pelajar selain membina lebih banyak sekolah, kata Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran berkata langkah itu perlu bagi menggelakkan proses pembelajaran daripada terganggu selain memastikan suasana pembelajaran sentiasa kondusif.

"Kita mahu pembelajaran di sekolah sentiasa di tahap yang tinggi. Jika bilangan pelajar melebihi nisbah sepatutnya, (misalnya) satu kelas 40 atau 50 pelajar, boleh menjejaskan proses pembelajaran dan kita tak nak ia membawa kesan kepada anak kita," katanya kepada pemberita selepas melawat Sekolah Kebangsaan Subang Bestari dekat Petaling Jaya, Isnin.

Bagaimanapun Muhyiddin berkata masalah kesesakan pelajar di seluruh negara tidak banyak.Justify Full

SK Subang Bestari merupakan satu daripada sekolah yang mengalami kesesakan pelajar berikutan pembangunan pesat di kawasan tersebut. Sekolah tersebut menpunyai lebih daripada 3,260 pelajar dan dua sesi pembelajaran.

Bagi mengatasi masalah itu, Muhyiddin berkata kementerian telah menyediakan kabin bilik darjah sebagai penyelesaian jangka pendek selain telah merancang untuk membina bangunan sekolah baru di tapak berdekatan.

Katanya projek pembinaan bangunan baru sekolah itu dijangka bermula awal tahun ini dan siap pada 2011 ataupun pada awal 2012.

"Maknanya, sebahagian pelajar di sini akan ditempatkan ke sekolah baru bila ia telah siap. Ia hampir berdekatan, jadi ia tidak akan menjadi masalah kepada ibu bapa," katanya.

Muhyiddin berkata keseluruhan 76 projek sekolah baru akan siap menjelang akhir tahun ini.

Sebanyak masing-masing sembilan buah sekolah rendah dan sekolah menengah telah siap dan beroperasi mulai bulan ini dan ia melibatkan sebanyak 522 bilik darjah dan 15,160 pelajar, katanya.

Sementara itu, 31 sekolah rendah dan 27 sekolah menengah yang akan memuatkan 1,416 bilik darjah dan 42,480 pelajar akan mula beroperasi Jun ini.

Ketua Pengarah Pelajaran Tan Sri Alimuddin Mohd Dom yang ditemui ketika mengiringi Muhyiddin berkata kementerian sedang ke arah menjadikan pembelajaran di sekolah-sekolah kerajaan satu sesi sahaja.

"Itu memang perancangan kita. Di kawasan luar bandar tiada masalah, semua pembelajaran dijalankan satu sesi sahaja. Ia (masalah kesesakan) cuma berlaku di kawasan sub-urban seperti di Subang, Rawang dan Kajang," katanya.

Bagaimanapun, katanya, tiada jangka masa ditetapkan untuk mencapai sasaran tersebut.

(Bernama)


Tiada ulasan: