.

Rabu, 28 Oktober 2009

PERTABALAN YDP. BESAR NEGERI SEMBILAN

Pertabalan Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan ke-11 Tuanku Muhriz ibni Tuanku Munawir pada 22-28 Oktober 2009 dijalankan dengan penuh adat istiadat di Balairong Seri Istana Besar Seri Menanti, Seri Menanti,Negeri Sembilan,Malaysia.

  • Pada 29 Disember 2008, istiadat permasyhuran Tuanku Muhriz sebagai Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan ke-11 berikutan kemangkatan Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan ke-10 Tuanku Ja’afar ibni Almarhum Tuanku Abdul Rahman pada 27 Disember 2008.
  • Pada 22 Februari 2009, istiadat pelantikan dan pertabalan Tunku Besar Seri Menanti (Tunku Ali Redhauddin) iaitu Putera Empat.
  • Pada 14 April 2009, Istiadat pelantikan dan pertabalan Tunku Ampuan Besar Negeri Sembilan Tuanku Aishah Rohani binti Almarhum Tengku Besar Mahmud.
  • Pada 22 Oktober 2009, alat-alat kebesaran dipasang di halaman Istana Besar Seri Menanti oleh Pegawai 99 yang diketuai oleh Datuk Seri Amar Diraja. Antaranya ialah lapan kaki payung kuning, lapan bilah tombak berambu, lapan bilah keris panjang, lapan bilah pedang panjang dan lapan tonggol (panji-panji) kuning, hitam dan merah. Alat-alat kebesaran ini akan kekal terpasang di halaman Istana Besar Seri Menanti selama tujuh hari sehingga istiadat menyimpan alat-alat kebesaran dilakukan pada 28 Oktober 2009.
  • Pada 25 Oktober 2009, istiadat bersiram di mana Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan dan Tunku Ampuan Besar Negeri Sembilan akan bersemayam di atas Takhta Rencana dan diarak dari Istana Besar Seri Menanti ke Panca Persada. Orang Empat istana akan menyempurnakan istiadat bersiram dengan menyembahkan bedak limau setelah mengelilingi baginda berdua sebanyak tujuh kali. Baginda berdua akan bersemayam semula di atas Takhta Rencana dan akan diarak kembali ke Istana Besar Seri Menanti.
  • Pada 26 Oktober 2009, istiadat pertabalan di Balairong Seri Istana Besar Seri Menanti. Istiadat pertabalan Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan ke-11 merupakan salah satu daripada tiga istiadat bersejarah di Negeri Sembilan pada tahun 2009.
MERAFAK SEMBAH SETINGGI-TINGGI TAHNIAH KEPADA
KEBAWAH DULI YANG MAHA MULIA TUANKU MUKHRIZ IBNI ALMARHUM PADUKA SERI TUANKU MUNAWIR

ATAS PERTABALAN TUANKU SEBAGAI PAYUNG PEMERINTAH,TURUS NEGERI SEBAGAI YANG DIPERTUAN BESAR NEGERI SEMBILAN DARUL KHUSUS DAN DAERAH/LUAK TAKLUKNYA

Tiada ulasan: