.

Isnin, 15 Jun 2009

KOMENTAR - PILIH GURU YANG BENAR-BENAR MAHU BERKHIDMAT

Langkah Kementerian Pelajaran memanjangkan tempoh Kursus Perguruan Lepasan Ijazah (KPLI) mulai tahun depan dijangka mampu memantapkan lagi profesion perguruan terutama membabitkan graduan lepasan universiti. Berbanding pelatih yang mengikuti program ijazah perguruan di institusi pendidikan guru (IPG) yang terpaksa menghabiskan sehingga lima tahun untuk memperoleh ijazah sebelum ditawarkan mengajar di sekolah, tempoh yang diambil oleh pelatih KPLI adalah singkat, iaitu hanya setahun sebelum ini. Kita menyokong langkah Bahagian Pendidikan Guru (BPG) untuk memanjangkan tempoh kursus menjadi 18 bulan kepada pelatih berkenaan sebelum ditempatkan di sekolah di seluruh negara.

Ini penting untuk memastikan guru terbabit mampu menguasai sepenuhnya pedagogi pendidikan yang menjadi teras kursus sebelum berdepan dengan pelajar di sekolah. Jika pelatih yang mengambil ijazah Sarjana Muda Perguruan dan program Sarjana Muda Pendidikan di universiti tempatan mengambil masa yang lama untuk diiktiraf, maka tidak adil bagi pelatih KPLI hanya mengikuti kursus singkat terus diserapkan menjadi guru. Tambah lagi, langkah diambil BPG itu adalah lanjutan terhadap kajian yang mendapati tempoh singkat bagi melatih pelatih KPLI menyumbang kepada kegagalan melahirkan guru berkualiti di kalangan lepasan berkenaan.

Dalam pada itu, langkah memanjangkan tempoh kursus dijangka dapat mengurangkan mereka yang semata-mata ingin mengejar pekerjaan, tanpa melihat kecenderungan sama ada mereka boleh menjadi guru cemerlang atau setakat makan gaji. Ini penting bagi negara mendapatkan mereka yang betul-betul layak dan meminati bidang perguruan, bukan menjadikan perguruan sebagai pilihan selepas tidak mendapat pekerjaan lain.

Tidak hairanlah dianggarkan sejumlah 100,000 lepasan universiti yang masih menganggur memohon KPLI tahun ini bagi mendapatkan pekerjaan. Berbanding, bidang lain, perguruan memerlukan mereka yang bukan saja berminat untuk mengajar malah mendampingi kanak-kanak yang bakal menjadi anak didik mereka. Bukan mudah untuk menjadi guru baik yang lengkap dengan ilmu pendidikan membabitkan psikomotor, afektif dan kognitif yang dapat mendidik kanak-kanak untuk menjadi insan yang sempurna mental dan fizikalnya.

Selain itu, kita berharap Kementerian Pelajaran dapat menyaring calon yang benar-benar layak untuk menjadi guru bagi memastikan mutu pendidikan di negara ini mencapai tahap yang diharapkan. Kita berasakan kementerian perlu mengetatkan langkah pengambilan, selain memanjangkan tempoh kursus kerana kita tidak mahu sekolah menjadi tempat lambakan guru yang ingin mudah mendapat pekerjaan. Jika ini berlaku, ia amat malang bagi sistem pendidikan kita kerana guru yang tidak berminat atau tidak sanggup mengorbankan jiwa raga untuk mendidik, akan berdepan dengan rasa kecewa dan bosan selepas bertahun-tahun mengajar.

Guru yang cemerlang dan terbilang amat kita perlukan bagi mendidik 5.4 juta pelajar di hampir 10,000 sekolah rendah dan menengah di seluruh negara. Dengan jumlah 386,031 guru di seluruh negara, kita amat berharap mutu pendidikan negara akan terus dipertingkatkan sejajar dengan proses kemajuan dan pembangunan negara.

(BERITA HARIAN)



Tiada ulasan: