.

Rabu, 17 Jun 2009

JADIKAN PENGUCAPAN AWAM KOKURIKULUM UTAMA DI IPT


SAMARAHAN 16 Jun - Institusi-institusi pengajian tinggi (IPT) di negara ini perlu menjadikan pengucapan awam atau debat sebagai kegiatan kokurikulum utama di kampus.

Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Saifuddin Abdullah berkata, kerajaan berharap debat bukan hanya dijadikan sebagai satu kegiatan semata-mata tetapi mahu ia menjadi budaya kepada para pelajar di IPT.

Menurutnya, pengucapan awam atau debat penting kepada pelajar IPT dalam membina keyakinan diri dan kebolehan berkomunikasi di samping persiapan menempuh alam pekerjaan.

''Kita harap dapat memperluas kegiatan debat di kalangan pelajar sekolah atau IPT yang bukan hanya meliputi aktiviti kokurikulum malah menjadikannya budaya di kalangan pelajar.

''Untuk tujuan itu, sesebuah IPT perlu ada kakitangan dan modulnya tersendiri,'' katanya ketika berucap merasmikan Pertandingan Akhir Debat Antara IPT 2009 di Universiti Malaysia Sarawak (Unimas) di sini.

Hadir sama Ketua Pengarah Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional, Datuk Azman Amin Hassan dan Naib Canselor Unimas, Profesor Dr. Khairuddin Ab. Hamid.

Dalam pada itu, Universiti Teknologi Mara (UiTM) diumumkan juara pertandingan debat itu selepas mengalahkan pencabar dari Universiti Malaya (UM).

Sebanyak 16 IPTA dan 10 IPTS dari seluruh negara menyertai pertandingan debat itu sejak tiga hari lalu.

Pasukan UiTM diwakili empat pendebat, Remmy Muntigerai, 21, dari cawangan Sarawak manakala Khairulnizam Bakeri, 24, (Kelantan), Siti Nadzirah Abdullah, 23, (Shah Alam) dan Mastura Arbin, 22, (Sabah).


(Utusan )



Tiada ulasan: