.

Sabtu, 11 April 2009

THAILAND TAK PERLU LEPASKAN KEDUDUKAN PENGERUSI ASEAN

11/04/2009 6:30pm

PATTAYA 11 April — Malaysia berpendapat adalah tidak perlu bagi Thailand melepaskan kedudukannya sebagai Pengerusi Asean walaupun negara itu terpaksa membatalkan Sidang Kemuncak Asean ke-14 dan sidang kemuncak berkaitan di sini.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata Thailand perlu diberi peluang untuk mengadakan semula sidang berkenaan pada tarikh lain.

“Saya tak nampak kita perlu tukar pengerusi Asean, cuma kita beri peluang kepada Kerajaan Thailand untuk memberi jaminan sekiranya sidang kemuncak ini diadakan di Thailand,” katanya pada sidang akhbar dengan wartawan Malaysia sebelum berlepas pulang selepas sidang kemuncak berkenaan terpaksa dibatalkan apabila penunjuk perasaan menyerbu tempat persidangan.

Jika diadakan semula di negara ini, kata Najib Thailand perlu memberi jaminan bahawa keadaan boleh dikawal dengan baik.

Walaupun ada cadangan lain untuk memastikan sidang seumpamanya diadakan pada masa lain, ia tidak melibatkan penukaran kedudukan Thailand sebagai pengerusi Asean.

“Kita juga ada cadangan lain, tetapi tukar pengerusi tidak perlu dan tidak wajar dilakukan,” katanya.

(BERNAMA)



Tiada ulasan: