.

Sabtu, 11 April 2009

NEGARA MEMERLUKAN 112 PAKAR NEUROLOGI -LIOW

KUALA LUMPUR, 11 April (Bernama) -- Seramai 112 pakar neurologi diperlukan bagi menampung jumlah pesakit Parkinson yang semakin meningkat setiap tahun di negara ini, kata Menteri Kesihatan Datuk Seri Liow Tiong Lai.

Liow berkata setakat ini Malaysia hanya mempunya 50 pakar neurologi dan 35 orang daripadanya berkhidmat dengan hospital swasta.

"Kekurangan tenaga pakar itu cukup membimbangkan kerana kira-kira 20,000 penduduk Malaysia mengidap Parkinson dengan 1,500 kes baru dilaporkan setiap tahun dan jumlah itu dijangka terus meningkat sehingga 30,000 pesakit menjelang 2020.

"Sekarang ini seorang pakar neurologi dinisbahkan menjaga 250,000 rakyat Malaysia dan dengan jumlah penduduk yang mencecah 28 juta orang, kekurangan doktor neurologi sememangnya diakui memberi kesan kepada usaha kementerian menangani penyakit yang tiada penawar itu," katanya selepas menghadiri sambutan Hari Parkinson Sedunia di sini, Sabtu.

Liow berkata kementerian telah mengambil beberapa pendekatan bersepadu bagi mengatasi masalah itu dengan melatih lebih ramai pakar dari kalangan doktor kerajaan.

Kementerian juga telah menambah pengambilan pelatih daripada 400 kepada 600 orang bagi Program Pakar, katanya.

Ekoran daripada kekurangan doktor pakar tempatan, kerajaan terpaksa mengambil tenaga doktor pakar dari luar negara secara kontrak.

Kerajaan bercadang menambah tenaga doktor pakar luar daripada 500 kepada 700 orang bagi menampung keadaan semasa, katanya.

(BERNAMA)



Tiada ulasan: