.

Isnin, 23 Mac 2009

PERHIMPUNAN 'PERKASA': LAMBANG KETUANAN MELAYU MASIH UTUH




Tarikh 22hb Mac 20o9 semalam menyaksikan suatu perhimpunan besar yang dikenal sebagai "Perhimpunan dan Sidang Kemuncak Pribumi Negara" anjuran Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia. Sebagai yang dijadualkan, Tun Dr. Mahathir Mohamad; Mantan Perdana Menteri Malaysia yang telah sekian lama berjuang memajukan negara sehingga Malaysia dikenali di peringkal antarabangsa.

Perhimpunan yang dilaksanakan ini bertujuan membangkitkan semangat jati diri melayu dan kepentingan sepakat serta bersatu hati dalam kalangan masyarakat pribumi untuk membela beberapa hak yang jelas termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan. Perhimpunan ini dilihat amat signifikan dengan realiti hari ini kerana banyak pihak mulai mempersoal dan mempertikai kredibiliti beberapa Artikel dalam Perlembagaan yang dikatakan bersifat diskriminasi kepada bangsa bukan melayu.

Bukti jelas yang kita semua sedia maklum adalah seperti siri forum anjuran Majlis Peguam Malaysia (Bar council) pada tahun lalu. Berlandaskan tajuk "Memeluk Islam", forum ini jelas menggugat perasaan Umat Islam sehingga mengheret pertelingkahan kerana melanggar Artikel 11 dalam Perlembagaan Persekutuan Negara. Majlis ini juga menganjurkan forum 'Kontrak Sosial' di Ibu Negara yang mempertikai beberapa isu bersifat perkauman. Kita sedia maklum sejarah membuktikan Kontrak Sosial ini telah sama-sama dipersetujui antara Tunku Abdul Rahman Putra, Dato' Razak Hussein, Dato' Dr. Islamil Abdul Rahman, Dato' Panglima BUkit Gantang Hj. Wahab dengan Tan Cheng Lock, Col. H.S. Lee dan V.T Sambathan.

Bukan setakat itu sahaja, isu Bahasa yang menyentuh Artikel 152 Perlembagaan juga turut menjadi taruhan. Penulis masih ingat bagaimana pada tahun 1999 ketika menjelang Pilihanraya Umum. Pada ketika itu, sebuah Gabungan Persatuan-Persatuan Cina yang dikenal sebagai (Suqiu) dengan lantang mengemukakan 83 tuntutan di bawah 17 perkara. Mereka menyatakan bahawa tuntutan Suqiu ini sebagai memenuhi hak kaum Cina di Malaysia. Lantas, kenyataan itu dibidas oleh Tun Dr Mahathir dalam satu ucapan rasmi ketika sambutan Hari Kemerdekaan ke-43. Beliau menyatakan inilah yang menampakkan sifat mereka tidak ubah seperti komunis yang mengamalkan sikap ekstimisme.

Oleh itu, penulis melihat perhimpunan ini terlalu penting demi memperlihatkan perpaduan kamu Bumiputera yang masih kukuh untuk memelihara 'ketuanan melayu' demi membela nasib anak cucu kelak.

Antara isu yang disentuh dalam perhimpunan ini adalah seperti berikut:

- ISLAM AGAMA PERSEKUTUAN (Artikel 11 Perlembagaan)

- BAHASA MELAYU SEBAGAI BAHASA KEBANGSAAN (Artikel 152 Perlembagaan)

- KEDAULATAN RAJA-RAJA MELAYU (Bab 1 dan 2 Bahagian IV Perlembagaan)

- HAK KEISTIMEWAAN ORANG MELAYU (Artikel 152 Perlembagaan)

Justeru, penulis suka untuk berkongsi idea serta pendekatan anda sebagai pembaca. Apakah pendapat anda berkenaan perhimpunan ini? Adakah perhimpunan ini dianggap penting sebagai memenuhi 'tuntutan terdesak' kaum Pribumi dalam mempertahankan hak mereka yang sedia termaktub pada Perlembagaan Persekutuan dan dipersetujui oleh Parti UMNO, MCA & MIC ketika Negara mendapat pengiktirafan Kemerdekaan suatu ketika dahulu?

Buah fikir anda sangat dialu-alukan demi membuka ruang minda masyarakat akan peri pentingnya memelihara keharmonian yang ada berlandaskan Perlembagaan Negara. Perpaduan Bangsa Melayu amat penting dalam memartabatkan ketuanan berzaman yang dijunjung sedari era orang-orang yang terdahulu.

Wallahu a'lam
Sekadar memaparkan realiti kehidupan semasa,
Fikir-fikirkan .. .

Tiada ulasan: