.

Selasa, 24 Mac 2009

PENGAMBILAN KEEMPAT FSTEP BERMULA JULAI

Program Meningkatkan Tenaga Mahir Sektor Kewangan (Fstep) anjuran Bank Negara Malaysia yang diuruskan Institut Bank-bank Malaysia (IBBM), akan melaksanakan pengambilan keempatnya membabitkan kira-kira 120 pelajar, Julai ini.

Ketua Fstep, Lee Khee Joo, berkata permohonan boleh dibuat bila-bila masa sehingga 29 Mei ini dengan menghantarkannya menerusi pos atau laman web di www.fstep.org.my.

"Kami menerima permohonan daripada rakyat Malaysia dengan syarat berumur tidak lebih 30 tahun, memiliki kelayakan CGPA tidak kurang 3.25 mata dari pusat pengajian tempatan dan luar negara, serta mahir bahasa Inggeris," katanya di Pusat Latihan Fstep di Darul Takaful, Jalan Sultan Sulaiman, Kuala Lumpur, semalam.

Lee berkata, pemohon dipanggil untuk temu duga dan mereka yang berjaya akan didedahkan kepada empat sektor teras industri kewangan iaitu perbankan, insurans, bank Islam dan takaful, oleh tenaga pengajar yang juga profesional industri terbabit.

Katanya, pemegang Ijazah dalam bidang perniagaan dan bukan perniagaan digalakkan memohon dan permohonan turut dibuka kepada pemohon sedang bekerja dalam sektor bukan kewangan, tetapi berminat meneruskan kerjaya dalam industri perbankan dan kewangan.

Mereka dilatih selama setahun dan 70 peratus latihan diberi di kelas termasuk kursus bahasa Inggeris (sebulan), manakala 30 peratus lagi menerusi latihan di institusi perbankan dan kewangan.

Katanya, setiap pelajar diberi elaun RM2,200 sebulan di samping perlindungan kesihatan dan insurans asas.

Lee berkata, 607 pelajar mengikuti pengajian sejak dimulakan pada Januari 2008 dan daripada jumlah itu, 289 pelatih pertama menamatkan pengajian dan sebahagiannya sudah diserap ke dalam sektor industri.

(BERITA HARIAN)

Tiada ulasan: