.

Ahad, 1 Mac 2009

KENYATAAN 'APARTEID' BIADAB – MB

____________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________

SEREMBAN 28 Feb. – Kenyataan Ketua Pembangkang Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor, Dr. Boo Cheng Hau menyamakan amalan ‘bumiputeraisme’ dengan dasar aparteid adalah biadab.

Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, tindakan Cheng Hau tidak ubah seperti individu yang dangkal pemikirannya, kurang ajar dan tidak boleh dimaafkan sama sekali.

‘‘Dia tahu ke apa itu aparteid. Kalau aparteid, hendak masuk ke bilik air pun tidak boleh. Naik bas, ke sekolah, bergaul dengan masyarakat, hendak dapatkan kerja semuanya tidak boleh. Peluang pun tidak ada.

‘‘Adakah Dasar Ekonomi Baru (DEB) atau pemikiran membantu golongan bumiputera yang digubal oleh pakar-pakar pelbagai kaum hendak disamakan dengan aparteid,” tegas beliau.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Mesyuarat Agung Persatuan Kebajikan Isteri-Isteri Wakil Rakyat Negeri Sembilan (Pekerti) di sini hari ini.

Hadir sama Yang Dipertua Pekerti, Datin Seri Raja Salbiah Tengku Nujumudin, Speaker Dewan Undangan Negeri, Datuk Razak Mansor, Pegawai Kewangan Negeri dan Datuk Ab. Radzak Ab. Rahman.

Sehubungan itu kata Mohamad, amat wajar Cheng Hau memohon maaf kerana kata-kata berselindung di sebalik imuniti dalam Dewan Undangan Negeri boleh juga didengar oleh rakyat.

‘‘Kita sudah terlalu payah menyatupadukan rakyat sejak 52 tahun lalu dan kita sudah bina penyatuan yang baik. Jadi ingatlah, kalau hendak jadi pembangkang, jadilah yang baik,” katanya.

Sementara itu dalam majlis berkenaan Mohamad turut menyampaikan sumbangan untuk tabung Dana Kemanusiaan Palestin (Dakap) anjuran Kumpulan Utusan dan lslamic Relief Malaysia (IRM).

Sumbangan sebanyak RM15,000 itu disampaikan bagi pihak Pekerti dan Majlis Kebangsaan Pertubuhan Wanita (NCWO) cawangan Negeri Sembilan sebanyak RM8,000.

Sumbangan diterima oleh Timbalan Ketua Pengarang Kumpulan Utusan, Othman Mohamad.

___________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________

Tiada ulasan: