.

Ahad, 8 Mac 2009

DEMONSTRASI PPSMI: BUKTI MENTALITI KELAS KETIGA

________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________
Hari Sabtu semalam (7hb Mac 2009), beribu-ribu masyarakat yang anti gagasan dan perlaksanaan PPSMI berhimpun di Ibu Negara. Tujuan yang pada asalnya untuk menyerahkan memorandum bantahan perlaksanaan PPSMI hanya mendapat permit polis yang membenarkan perhimpunan diadakan sekitar Masjid Negara. Namun, kegagalan mereka yang terlibat munurut arahan pihak berkuasa maka kekecohan tercetus di merata. Agaknya itu yang diidam-idamkan rakyat Malaysia khususnya dalang yang merangka. 'Batu api' kalangan segelintir pemimpin daripada pihak anti-kerajaan dilihat turut berarak bersama dengan Tokoh Sasterawan Negara yang kebetulan visi serta arah tuju perjuangan mereka berada pada suatu landasan yang sama.

Gagasan yang dikatakan melanggar Artikel 152 Perlembagaan Persekutuan ini merupakan 'tuntutan terdesak' yang menjadi elemen kotor permainan politik pihak tertentu. Demonstrasi yang berlaku semalam tidak ubah menyatakan kepada dunia bahawa kerajaan yang berperlembagaan di Malaysia ketika ini adalah sebuah kerajaan yang melaksanakan pemerintahan 'kuku besi' atau autokratik sehingga tidak ada sifat toleransi untuk membawa isu ini ke meja rundingan. Demokratik seolah-olah tidak pernah wujud dalam negara yang berpegang kepada prinsip utama menjadi teras keharmonian sejagat di Malaysia. Aktiviti memalukan ini tidak ubah seperti penduduk negara Thai yang meruntuhkan kerajaan sendiri pada akhir tahun 2008 lalu sehingga ekonomi negera itu lumpuh dan merencatkan industri perlancongan.

Persoalannya, benarkah dalam isu PPSMI ini kerajaan tidak menyediakan langsung platform atau ruang untuk rundingan meja bulat? Mengapa demonstrasi jalanan yang menimbulkan kekecohan dan perbalahan seterusnya menunjukkan perpecahan umat Melayu kepada warga dunia menjadi pilihan?

Pada hemat penulis, mereka yang terlibat dalam demonstrasi membantah PPSMI semalam adalah masyarakat yang cetek akal pemikiran dan hanya bertindak menurut emosi semata-mata. Andai mereka faham prinsip toleransi yang diamalkan sejak dahulu dalam negara ini pasti mereka ada alternatif yang lebih baik untuk mencari kaedah penyelesaian berkaitan isu PPSMI tanpa memilih untuk menunjukkan kepada dunia bahawa Melayu sebenarnya masih berfikiran kelas ketiga!

Pemikiran kelas ketiga ini ditakrifkan sebagai kegagalan menggunakan kuasa berfikir sebenar ke tahap paling maksimum, seimbang dengan kedudukan pemikiran masyarakat yang boleh dianggap maju serta bertamadun (Rahmat Hidayat Sabari, 2009).

Bukan penulis menyokong sepenuhnya perlaksanaan PPSMI ini. Penulis juga merupakan seorang pendidik yang kebetulan menjadi 'agen' untuk perlaksanaan PPSMI di salah sebuah sekolah menengah di Negeri Sembilan. Namun, jauh sekali mempunyai niat untuk membantah seluruhnya sistem yang mahu memartabatkan bangsa ke medan antarabangsa ini. Penulis hanya mengharapkan sistem yang ada diperbaiki agar terus membantu pelajar-pelajar memahami dengan lebih mendalam segala yang diajarkan. Andai keruntuhan prestasi pelajar menjadi ukuran, bukanlah bahasa asing ini yang perlu dipersalahkan. Tetapi, inisiatif pelajar tersebut perlukan anjakan untuk mengulangkaji pelajaran mereka. Andai diubah kembali PPSMI dalam bahasa kebangsaan seperti sedia kala, akan tetapi sifat pelajar masih tidak mahu mengulangkaji sebelum tiba peperiksaan maka prestasi pelajaran mereka tetap serupa.

Dalam artikel ini penulis sebenarnya mahu mengetangahkan perkara pokok yang berkaitan dengan sikap masyarakat kita sahaja. Mengapa kita sering mengikut rentak 'orang lain' tanpa memahami asas perjuangan yang sebenar? Dalam pelbagai alternatif terbaik yang ada dan bebas untuk dipilih oleh masyarakat dalam menangani perlaksanaan isu PPSMI ini, mengapa demonstrasi yang menjadi pilihan utama? Sedangkan ruang rundingan terbuka luas untuk dimanfaatkan.

Kita perlu sedar bahawa dengan berdemontrasi masalah tidak akan selesai. Malah, banyak kesan negatif lain yang akan timbul. Misalnya; perbalahan sesama sendiri, sentimen anti kerajaan dikalangan masyarakat, kesesakan lalu lintas, mewujudkan persepsi tidak baik kepada pelancong asing, memberi watak serta imej yang tidak elok kepada dunia, menakutkan para pelabur untuk menanam modal dalam negara, menjejaskan industri perlancongan, dan lain-lain. Akhirnya, dalam keadaan negara menghadapi watak ekonomi yang semakin lemah maka kita akan menghadapi kesulitan yang lebih parah. Pengangguran pula pasti akan bertambah-tambah.

Sebaliknya, andai pendekatan rundingan dengan kerajaan dan pihak-pihak berwajib yang berkaitan menjadi pilihan maka sudah tentu perkara buruk lain tidak akan timbul. Kita perlu bersatu dalam menangani masalah ini. PPSMI adalah isu pendidikan bukan isu politik tepian jalan. PPSMI adalah isu berkaitan cendekiawan. Andai benar ingin memartabatkan warisan, budaya timur perlu jadi acuan. Bukan sikap angkuh jadi buruan sehingga memakan aspirasi negara yang menjadi impian.

Usah jahanamkan aset yang ada. Kelak seluruh kita akan merana. Akal dikurnia jangan disia-sia. Fikir panjang untuk kebaikan bersama.
Sama-sama kita renungkan.

Sekadar luahan, Fikir-fikirkan .. .
________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________

Tiada ulasan: