.

Sabtu, 28 Mac 2009

DATO DR. SHEIKH MUSZAPHAR SHUKOR AL MASRIE BIN SHEIKH MUSTAPHA DI SMK BUKIT MEWAH, SEREMBAN

Dato Dr Sheikh Muszaphar Shukor Al Masrie Bin Sheikh Mustaphar
bersama
Pengetua Kanan En Wong Kam Piew
(Berbaju Batik Coklat - kanan)


Langkah awal memasuki Dewan Utama SMK Bukit Mewah

Sudut yang menempatkan "Banner" Angkasawan Negara untuk ditandatangani oleh beliau

Rancak memotivasi serta menasihati
dalam
sesi ceramah bersama pelajar SMK Bukit Mewah


Hari ini (28 Mac 20o9) jadual Angkasawan Negara tentunya menyenaraikan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bukit Mewah, Jalan Tok Ungku di Seremban menjadi destinasi perjumpaan. Majlis Mesyuarat Agung Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) SMK Bukit Mewah kali Ke-27 Tahun 20o9 menjemput beliau untuk merasmikan program tersebut. Sesi ceramah beliau mengikut jadual asal bermula jam 1.30 petang sehingga 2.30 petang. Namun, kelibat Angkasawan tersebut awal-awal lagi telah muncul seakan bersemangat untuk memberi input serta ransangan.

Selepas Pengetua Kanan En. Wong Kam Piew memberi ucap tama, Dato Dr. Sheikh Muszaphar Al Masrie memulakan sesi ceramah kepada lebih 300 orang pelajar bersama ibu bapa dan guru sekolah berkenaan.

Dalam sesi ceramah, beliau tidak lokek untuk berkongsi pengalaman serta ilmu tentang angkasa lepas. Antara yang beliau sentuh adalah cara bersarapan di angkasa lepas, cara untuk tidur, mandi, minum, makan, serta bersolat. Ceramah yang disusuli dengan visual rakaman video semasa beliau di angkasa menambah lagi tarikan mereka yang menyaksikan. Motivasi dan nasihat juga turut diselitkan sama.

Selesai ceramah, beliau membuka sesi soal jawab dengan pelajar-pelajar sekolah berkenaan. Hampir sepuluh pertanyaan diajukan kepada beliau oleh pelajar-pelajar berkenaan yang fasih berbahasa Inggeris dan dijawab satu demi satu. Kemudian, Dato Dr. Sheikh Muszaphar di bawa ke satu bangunan yang menempatkan "Banner" besar, khas untuk ditandatangani sebagai kenangan bagi pihak sekolah serta warganya.

Akhir sekali, sebelum meninggalkan Laman Perpaduan SMK Bukit Mewah, beliau sempat merasmikan makmal baru Fizik di bahagian bawah bangunan. Beliau juga masih mampu beramah mesra, bergambar serta memberi tanda tangan kepada pelajar-pelajar dan guru.

Sekitar jam 3.00 pm Dato Dr. Sheikh Muszaphar Shukor Al Masrie bin Sheikh Mustaphar mulai meninggalkan perkarangan sekolah. Semua pelajar, ibu bapa dan guru teruja dengan kehadiran beliau kerana sifat yang murah senyuman, ramah, dan mudah mesra dengan warga SMK Bukit Mewah.

Semoga lambaian tangan beliau bukan sekadar ucapan selamat tinggal kepada warga SMK Bukit Mewah. Namun, segala nasihat dan motivasi yang beliau beri selama lebih kurang sejam bersama seharusnya dapat dimanfaatkan oleh para pelajar dalam mendalami ilmu pengetahuan Sains dan Teknologi khasnya dan ilmu falak secara amnya.

Wallahu a'lam .. .





Tiada ulasan: