.

Rabu, 4 Mac 2009

BAHASA MELAYU MAKIN MELUAS DITUTURI

Sebahagian peserta yang menyertai Pertandingan Pidato Antarabangsa Bahasa Melayu Piala Timbalan Perdana Menteri 2009 (PABM) selepas majlis taklimat dan undian khas di Petaling Jaya.
_________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________

Penggunaan bahasa Melayu kini semakin meluas dan diiktiraf di seluruh pelosok dunia.

Ini terbukti apabila Pertandingan Pidato Antarabangsa Bahasa Melayu Piala Timbalan Perdana Menteri 2009 (PABM) yang berlangsung di sini dari semalam hingga 7 Mac ini, berjaya menarik penyertaan masyarakat dari enam benua.

Selain Malaysia, peserta lain ialah Indonesia, Singapura, Thailand, Pakistan, United Kingdom, Australia, Perancis, China, Itali, Jerman, Maldova, Republik Chechz, Bosnia Herzegovina, Palestin, Belarus, Rusia dan Amerika Syarikat (AS).

Seramai 46 peserta iaitu 35 bagi kategori antarabangsa dan 11 untuk kategori nusantara menyertai pertandingan berkenaan yang dianjurkan bagi tahun ketiga sejak 2007.

Pengarah Urusan AG Bestari Event Sdn. Bhd. iaitu syarikat yang mengendalikan pertandingan pidato itu, Abdul Halim Ibrahim berkata, acara kali ini membabitkan peserta dari 39 negara.

"Dengan jumlah ini, ia menunjukkan semakin ramai penduduk negara luar terutama pelajar institusi pengajian tinggi yang berminat mempelajari bahasa Melayu.

"Dalam usaha menghargai minat pelajar mendalami dan membantu mereka agar lebih cekap bertutur, kami menganjurkan pertandingan ini," katanya ketika taklimat dan undian khas PABM di Hotel Crystal Crown, Petaling Jaya di sini hari ini.

Bertemakan Pengantarabangsaan Bahasa Melayu, pertandingan itu dianjurkan Kementerian Pengajian Tinggi, Kementerian Pelajaran dan Kementerian Penerangan.

Abdul Halim berkata, penganjuran itu juga menunjukkan kerajaan tidak pernah meminggirkan bahasa kebangsaan sebaliknya ia semakin diperluaskan ke seluruh negara.

"Bagi memilih peserta, Kementerian Pelajaran Tinggi menghantar surat mengenai pertandingan ini kepada negara luar dan mana-mana universiti di negara berkenaan yang berminat, menghantar wakil pelajar mereka menyertainya.

"Pada masa sama, ia juga merapatkan hubungan peserta dan negara yang mempunyai bangsa serta budaya berbeza melalui bahasa," katanya.

Beliau berkata, setiap peserta perlu melalui saringan pidato mengikut tajuk yang dipilih mereka sendiri.

"Empat orang juri akan memilih 10 peserta antarabangsa dan lima nusantara untuk bertanding di peringkat separuh akhir yang akan diadakan di Universiti Malaya.

"Lima peserta antarabangsa dan tiga nusantara pula akan memasuki peringkat akhir yang bakal diadakan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) di sini pada Jumaat ini," tambahnya.

Johan bagi setiap kategori itu akan membawa pulang piala pusingan, piala iringan dan wang tunai AS$3,000 atau RM10,983.

Naib juara bakal memenangi piala iringan dan AS$2,000 (RM7,322) manakala tempat ketiga memperoleh piala iringan dan AS$1,000 (RM3,661).

__________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________

Tiada ulasan: