.

Rabu, 4 Mac 2009

46 PEMIDATO SERTAI SARINGAN PABM 2009

_________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________

KUALA LUMPUR 3 Mac - Saringan Pertandingan Pidato Antarabangsa Bahasa Melayu Piala Timbalan Perdana Menteri 2009 (PABM 2009) bermula hari ini di Auditorium Kompleks Perdanasiswa, Universiti Malaya.

Seramai 46 peserta dari enam benua iaitu 35 orang bagi kategori antarabangsa dan 11 untuk kategori nusantara berpidato mengenai tajuk yang mereka pilih.

Antara 10 tajuk yang diketengahkan peserta adalah Bahasa Melayu Bahasa Perpaduan, Kecemerlangan Pendidikan Asas Pembangunan Negara, Perpaduan Menjamin Kemakmuran Negara dan Malaysia Gemilang di Persada Antarabangsa.

Pengarah Hal Ehwal dan Pembangunan Pelajar Jabatan Pengajian Tinggi, Profesor Dr. Mohd. Fauzi Ramlan berkata, peserta bagi kategori antarabangsa memulakan saringan pada sebelah pagi diikuti kategori nusantara di sebelah petang.

"Esok peserta bagi kategori nusantara akan memulakan saringan kedua dan kategori antarabangsa pula di sebelah petang.

"Bagi kedua-dua kategori, setiap peserta diberikan masa tujuh minit untuk berpidato," katanya di sini hari ini.

Kira-kira 400 penonton termasuk pelajar sekolah menyaksikan saringan berkenaan yang bermula pukul 9 pagi hingga 5 petang.

Beliau berkata, saringan itu diadakan dua kali iaitu hari ini dan esok bagi memberi peluang kepada peserta menyesuaikan diri pada hari pertama dan memperbaiki persembahan untuk hari kedua.

Menurutnya, juri akan memilih 10 peserta daripada kategori antarabangsa dan lima kategori nusantara untuk ke peringkat separuh akhir.

Katanya, lima peserta antarabangsa dan tiga nusantara pula akan dipilih sebagai peserta akhir.

Bertemakan Pengantarabangsaan Bahasa Melayu, pertandingan dari 1 hingga 7 Mac itu bertujuan menghargai minat pelajar mendalami Bahasa Melayu dan membantu mereka agar lebih cekap bertutur.

Selain membuktikan Bahasa Melayu sudah diterima secara meluas dan digunakan di seluruh dunia, pertandingan itu juga mampu merapatkan hubungan peserta dan negara yang mempunyai bangsa serta budaya berbeza melalui bahasa.

Pertandingan bagi tahun ketiga sejak 2007 itu dianjurkan Kementerian Pengajian Tinggi, Kementerian Pelajaran dan Kementerian Penerangan.

Pertandingan peringkat akhir akan diadakan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) pada pukul 8.30 malam Jumaat ini.

-UTUSAN MSIA-
________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________

Tiada ulasan: